Akaun Najib terima RM60.6j, tutup empat hari selepas PRU13

Akaun Najib terima RM60.6j, tutup empat hari selepas PRU13

R. UMA Devi keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas perbicaraan kes Najib Tun Razak, semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai bank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini,  hari ini bahawa akaun peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berakhir dengan nombor 694 menerima lebih RM60.6 juta sekitar tahun 2011.

Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi berkata, kemasukan wang tersebut berlaku dalam dua transaksi.

“Pada 24 Februari 2011 terdapat transaksi kemasukan berjumlah RM30,449,929.97 ke dalam akaun AmIslamic Bank Berhad Najib ke dalam akaun 694.

“Pada 14 Jun 2011, terdapat transaksi kemasukan berjumlah RM30,179,909.46 ke dalam akaun AmIslamic Bank Berhad yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, pada 26 Ogos 2011 pula, Najib telah mengarahkan wang sebanyak RM150,000,000 dari akaun 694 dipindahkan ke akaun 880 yang mana transaksi tersebut berjaya dilakukan keesokan harinya.

Pada 30 Ogos 2011, sebanyak RM12,436,711.87 yang merupakan baki daripada akaun 694 dan 481 telah dipindahkan ke akaun 880 sebelum akaun-akaun terbabit ditutup pada tarikh sama.

Akaun 880, 898 dan 906 ditutup empat hari selepas Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijalankan pada 5 Mei 2013.

Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan kes Najib yang didakwa atas 25 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah dan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Sekitar Jun lalu, Pengurus Bahagian Unit Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) Ambank (M) Berhad, Wedani Senen memberitahu akaun Najib 2112022011880 atas kod nama AmPrivate Banking-1MY menerima £750,000 daripada Blackrock Commodities (Global) Limited pada 23 Jun 2014.

Akaun sama menerima wang daripada Vista Equity International Partners Ltd (Barbados) melalui lima transaksi iaitu £5,750,000 (19 Oktober 2014); £694,343.62 dan £2,216.01 (24 November 2014); £995,000.00 (5 Disember 2014) dan £1.26 juta (18 Disember 2014).

Menurut laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), Vista Equity International Partners dan Blackrock ialah ‘shell company’ (syarikat yang hanya wujud di atas kertas) dimiliki dan dikawal oleh Eric Tan, iaitu sekutu ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Terdahulu, Uma Devi yang juga saksi pendakwaan ke-37 memberitahu, walaupun Najib telah melantik pemegang mandat bagi lima akaun peribadinya, Ahli Parlimen Pekan itu masih bertanggungjawab atas kesemua transaksi yang dilakukan membabitkan akaun-akaun tersebut.

Jelasnya, berdasarkan surat pelantikan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil sebagai pemegang mandat, segala transaksi yang dilakukan oleh lelaki itu adalah seperti dibuat sendiri oleh Najib.

“Surat ini mengesahkan bahawa Najib telah melantik Nik Faisal ‘authorised personnel’ bagi akaun bernombor 211-202-201188-0 (AmPrivate Banking – 1MY), 211-202-201189-8 (AmPrivate Banking – Y1MY) dan 211-202-201190-6 (AmPrivate Banking – MY).

“Surat ini membenarkan Nik Faisal memberi apa-apa arahan bertulis kepada pihak bank untuk mengeluarkan draf bank atau cashier’s order bagi ketiga-tiga akaun tersebut dan memberi arahan kepada Perbendaharaan Kumpulan Ambank bagi tujuan Deposit Perbendaharaan atau Penempatan Pasaran Wang.

“Surat ini juga mengesahkan bahawa Najib bertanggungjawab untuk transaksi-transaksi tersebut seolah-olah ia dikeluarkan oleh beliau sendiri,” kata Uma Devi.

Selain akaun-akaun berakhir 880, 898 dan 906, Najib juga telah melantik Nik Faisal sebagai pemegang mandat bagi akaun-akaun peribadinya yang berakhir dengan nombor 481 dan 694.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya