Pendakwaan bermotif politik - Ahmad Zahid

Pendakwaan bermotif politik – Ahmad Zahid

ZAHID
Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir untuk prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. -UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid menegaskan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pertuduhan terhadapnya berselindung di sebalik motif politik walaupun tiada keterangan sedemikian dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Presiden UMNO menyatakan berpendiriannya bahawa perkara itu adalah hakikat yang berlaku kepada beliau dan ahli politik lain yang diheret ke mahkamah.

“Dari segi pendakwaan secara atas kertas memang tidak, tetapi di belakangnya saya mengetahui ia bertujuan untuk bermotifkan politik,” ujar beliau pada sesi pemeriksaaan balas yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Terdahulu, Raja Rozela menarik perhatian mahkamah bahawa jika ahli politik dituduh atas pertuduhan rasuah, antara alasan yang diberikan adalah pertuduhan atas konspirasi politik untuk menjatuhkan ahli politik tersebut.

Raja Rozela: “Katalah seorang tukang kebun didakwa di mahkamah atas pertuduhan sama, tidak mungkin dia boleh menimbulkan alasan yang serupa. Setuju?”

Ahmad Zahid: “Kalau tukang kebun itu ketua cawangan dan memegang jawatan, perkara sama akan berlaku.”

Raja Rozela: “Walhal sepanjang beberapa tahun kes ini berjalan, tiada keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan yang dikaitkan sebagai bermotifkan politik.”

Ahmad Zahid sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Terdahulu, sesi soal balas yang dikendalikan oleh Raja Rozela bermula sedikit tegang apabila Ahmad Zahid diasak bertubi-tubi dengan soalan yang berkaitan konspirasi berbaur politik.

Raja Rozela membangkitkan isu bahawa isu politik dan wang tidak dapat dipisahkan namun bekas Timbalan Perdana Menteri berpendirian bahawa `wang bukan segala-galanya namun segala-galanya memerlukan’.

Ahmad Zahid ketika ditanya Rozela, menyatakan beliau tidak bersetuju bahawa perbuatan rasuah, penyelewengan wang dan sogokan semakin berleluasa di negara ini.

Raja Rozela: “Mungkin Datuk Seri tidak baca bahawa artikel dalam Wall Street Journal meletakkan Malaysia pada kedudukan nombor satu negara yang paling korup di dunia.”

Ahmad Zahid: Saya baca tajuk dan hanya membaca sepintas lalu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri berpendirian, artikel itu berdasarkan indeks dan persepsi rasuah dan dalamd hal melibatkan Malaysia, persepsi lebih diutamakan daripada indeks.

Beliau bagaimanapun bersetuju negara ini mempunyai undang-undang untuk menangani rasuah dan Perlembagaan Persekutuan meletakkan semua warganegara adalah sama rata daripada segi undang-undang tanpa mengira status dan kedudukan serta miskin atau berharta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN