'Monster', kod nama Ahmad Zahid dalam lejar  - Utusan Malaysia

‘Monster’, kod nama Ahmad Zahid dalam lejar 

AHMAD Zahid Hamidi hadir tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi meneruskan perbicaraannya berkaitan pertuduhan rasuah terhadap projek VLN oleh syarikat UKSB di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM:  Bekas Pengurus Pentadbiran Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB), David Tan memberitahu menggunakan pelbagai nama dan singkatan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam buku lejar bagi mengelak diketahui identitinya. 

Dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, saksi pendakwaan ke-17 (SP17) itu mendedahkan kepada Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menggunakan singkatan seperti ‘ZH’, ‘YB’, ‘young boy’  ‘mon’ dan ‘monster’. 

Malah, dalam sesi soal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, SP17 atau nama sebenarnya Tan Siong Sun mendakwa menggunakan kod nama tertentu bagi ahli politik dalam buku lejar pengeluaran wang wang UKSB. 

“Saya guna kod nama seperti ‘ZH’, ‘YB’, ‘young boy’ , ‘mon’ dan ‘monster’ terhadap Datuk Seri (Ahmad Zahid). Saya gunakan ‘monster’ sebab (ketika membuat lejar) saya makan snek Mamee Monster. 

“Ya (nama ahli politik dan kakitangan awam yang terdapat dalam lejar). Hanya saya yang tahu (individu yang dimaksudkan berdasarkan kod nama). Saya menggunakan kod nama kerana bimbang segala maklumat (dalam lejar) akan diketahui dan difahami orang lain,” katanya. 

Sebelum ini, SP16, Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani dilaporkan mendakwa memberikan sumbangan berjumlah antara RM50,000 hingga RM200,000 kepada UMNO Bahagian Rembau melalui Timbalan Ketua Bahagiannya, Khairy Jamaludin Abu Bakar. 

Sumbangan tersebut diakui bekas pengarahnya itu, bagaimanapun dana tersebut tidak diberikan secara terus kepada Menteri Kesihatan itu sebaliknya diuruskannya sendiri menerusi pelbagai program, bantuan politik dan kebajikan. 

Di peringkat awal sesi soal balas,  Raja Rozela turut meminta David Tan menjelaskan bagaimana beliau menyerahkan wang tunai kepada Ahmad Zahid yang juga bekas Menteri Dalam Negeri. 

David Tan memaklumkan, beliau bertemu dengan Ahmad Zahid sebanyak dua kali untuk membawa wang kepadanya, namun, hanya mengetahui jumlah apabila berkunjung ke rumah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu di Sri Satria, Putrajaya. 

“Kali pertama saya datang dengan Wan Quoris, tetapi tidak tahu jumlah wang dalam sampul surat tersebut. 

“Kali kedua saya datang bersama bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun dan membawa wang sebanyak RM3 juta dalam sebuah beg bagasi beroda, kemudian meninggalkannya di ruang tamu rumah dan menunggu di luar,” jelasnya. 

Katanya lagi, Ahmad Zahid tidak memulangkan wang tersebut. 

Ahmad Zahid Hamidi berdepan 33 pertuduhan berjumlah SGD$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya melanjutkan kontrak pengendali Perkhidmatan Pusat Sehenti (OSC) di China dan Sistem Visa Luar Negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). 

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai 1,150,000 Dolar Singapura, RM3 juta, 15,500 Euro dan 15,000 Dolar Amerika Syarikat tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasminya. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya