Penghantar makanan didenda RM4,000 raba payudara wanita Indonesia - Utusan Malaysia

Penghantar makanan didenda RM4,000 raba payudara wanita Indonesia

SEORANG penghantar makanan didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah atas dakwaan mencabul kehormatan seorang wanita Indonesia dalam kejadian di Bukit Gambir, Georgetown, Pulau Pinang Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang penghantar makanan didenda RM4,000 dan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda atas dakwaan mencabul kehormatan seorang wanita Indonesia dalam kejadian di Bukit Gambir, di sini Rabu lalu.

Muhammad Falihin Abdul Talib, 28, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd. Wahab di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Falihin didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara meraba payudara wanita Indonesia yang dikenali sebagai Nurmalis dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Jalan Bukit Gambir di sini, pukul 12.30 tengah hari pada 20 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Muhammad Falihin meminta mahkamah mengurangkan hukuman ke atasnya memandangkan dia merupakan penyara tunggal keluarga dan bekerja sebagai penghantar makanan dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

Selain itu, dia turut menanggung seorang anak yang berusia setahun mankala isterinya sedang hamil lima bulan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazri Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili peguam S. Bommy.

Difahamkan, tertuduh membayar denda tersebut sejurus prosiding selesai.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian, mangsa yang sedang menunggang motosikal berhampiran lampu isyarat Jalan Bukit Gambir dari arah Sungai Nibong dihampiri seorang lelaki yang menaiki motosikal dari arah belakang lalu menghimpitnya di sebelah kanan.

Lelaki terbabit kemudiannya terus meramas payudara kanannya menyebabkan mangsa terkejut lalu memberhentikan motosikalnya.

Hasil laporan yang dibuat mangsa di Balai Polis Sungai Nibong, suspek berjaya ditahan di tepi Lorong Singgora pada jam 4.45 petang, 24 April lalu. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN