GAZA CITY: Pengarah Jabatan Kesihatan Gaza, Dr. Munir Al-Bursh mendedahkan tentera Israel sengaja meninggalkan anak patung dan mainan yang dipasang bahan letupan dipercayai bertujuan menarik perhatian kanak-kanak.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai ‘wajah baharu pembunuhan beramai-ramai’ yang masih berterusan walaupun gencatan senjata telah dikuatkuasakan lebih tiga minggu.
“Bom berbentuk anak patung, tentera Israel bukan sahaja meninggalkan rumah yang musnah, tetapi turut meninggalkan bom masa di tangan kanak-kanak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau menjelaskan bahawa di lorong-lorong sempit dan di celah runtuhan rumah, masih banyak sisa roket dan peluru tidak meletup yang berselerakan, seolah-olah terus melaksanakan misi membunuh walaupun tentera telah berundur.
“Setiap hari, hospital menerima mayat kanak-kanak yang hancur, anggota badan yang putus dan wajah yang cacat akibat rasa ingin tahu serta ketulusan zaman kanak-kanak,” katanya.
Menurut Al-Bursh, sisa perang paling berbahaya ialah yang menyerupai wajah malaikat tetapi membawa niat jahat iaitu mainan perangkap bom seperti anak patung, burung mainan dan beruang kecil yang ditinggalkan untuk menarik perhatian si kecil.
“Apabila seorang kanak-kanak menghulurkan tangan untuk mengambil ‘mainan comel’ itu, kebenaran yang mengerikan meletup di hadapan mereka. Tentera yang kononnya bermoral itu telah ‘menanam kematian’ di tengah-tengah dunia kanak-kanak,” katanya lagi.
“Anak patung telah bertukar menjadi periuk api, beruang kecil menjadi alat mencacatkan tubuh, dan bola berwarna-warni menjadi perangkap yang meragut seluruh masa depan kanak-kanak,” katanya. -AGENSI










