Ahli Lembaga Pengarah 1MDB `gembira' pelaburan ditebus semula - Utusan Malaysia

Ahli Lembaga Pengarah 1MDB `gembira’ pelaburan ditebus semula

Logo 1MDB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sekitar Oktober 2014, Ahli Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) `gembira’ apabila mengetahui sejumlah AS$870 juta yang dilaburkan di luar negara berjaya ditebus semula dan sebanyak AS$300 juta akan diperoleh semula dalam masa beberapa hari.

Bagaimanapun, `kegembiraan’ tersebut hanyalah dongeng semata-mata kerana wang tersebut tidak dipulangkan kepada 1MDB sebaliknya dimasukkan ke dalam akaun Aabar Investment PJS Limited yang didaftarkan di Seychelles yang turut digelar sebagai Aabar palsu.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, Ahli Lembaga Pengarah telah dikelirukan. Bulan puasa tak sedap nak cakap,”kata bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail.

Kenyataan itu kemudian dibalas oleh peguam bela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah:”Bulan puasa pun kena cakap perkara sebenar.”

Tambah saksi tersebut, Ahli Lembaga Pengarah juga tidak mengetahui dana yang kononnya ditebus semula daripada pelaburan yang telah dibuat adalah pinjaman yang diperoleh daripada Deutsche Bank.

Selain itu, Ismee turut memberitahu bahawa Ahli Lembaga Pengarah telah diberi taklimat seolah-oleh transaksi penebusan semula pelaburan tersebut telah dibuat secara sah.

Bagaimanapun beliau hanya mengetahui perkara sebenar apabila siasatan mengenai penyelewengan dana 1MDB dilakukan sekitar 2018.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian dalam perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah hampir RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Pada prosiding terdahulu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd. Hazem Abdul Rahman dalam keterangannya memberitahu 1MDB telah memperoleh pinjaman AS$975 juta dari Deutsche Bank untuk tujuan membeli semula saham syarikat itu daripada seorang rakan pelaburannya.

Bagaimanapun, pinjaman itu tidak digunakan untuk tujuan sebenar sebaliknya telah dipindahkan dalam dua bahagian (AS$223 juta dan AS$475 juta) iaitu dari 1MDB Energy Holdings Limited kepada syarikat Aabar Investment PJS Ltd (Seychelles) pada September 2014 dan kemudian kepada pelbagai entiti.

Subsidiari sebenar International Petroleum Investment Company (IPIC) yang menjalan urusniaga dengan 1MDB ialah Aabar Investments PJS yang diperbadankan di British Virgin Islands (BVI).

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya