Mahkamah tunggu maklum balas cadangan saman pemula bekas hakim diselesai melalui mediasi - Utusan Malaysia

Mahkamah tunggu maklum balas cadangan saman pemula bekas hakim diselesai melalui mediasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini masih menunggu maklum balas berhubung cadangan saman pemula sekumpulan bekas hakim terhadap Kerajaan Malaysia kerana gagal melaraskan kenaikan pencen dan faedah yang sepatutnya diterima sejak tujuh tahun lalu, diselesaikan melalui mediasi.

Cadangan tersebut sebelum ini disuarakan oleh Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh supaya kedua-dua pihak berbalah meneroka kemungkinan sama ada tuntutan saman 35 bekas hakim termasuk balu dan tanggungan mereka, dirujuk kepada perantara.

Beliau menetapkan 26 Mei ini bagi pengurusan kes untuk membolehkan pihak kerajaan selaku defendan memaklumkan kepada mahkamah berhubung pendiriannya kemungkinan saman pemula itu diselesai melalui mediasi.

Sementara itu, Christopher Leong yang merupakan salah seorang peguam yang mewakili sekumpulan hakim itu berkata, pihaknya sedia bertolak ansur dengan cadangan tersebut dan memohon defendan mencadangkan senarai perantara yang berpotensi terlibat dalam proses mediasi.

Bagaimanapun, Peguam Persekutuan M. Kogilambigai yang mewakili pihak kerajaan memberitahu, beliau memerlukan lebih masa akan berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan dan mendapatkan arahan lanjut berhubung cadangan tersebut.

Lanjutan masa itu tidak dibantah oleh peguam-peguam yang mewakili pihak plaintif pada sesi pengurusan kes hari ini.

Pada pengurusan kes 14 Februari lalu, Hakim Wan Ahmad Farid turut meminta pandangan semua pihak berhubung kedudukan beliau yang mempunyai pertalian keluarga dengan salah seorang plaintif yang dinamakan dalam saman itu.

Bagaimanapun, Christopher ketika itu memberi maklum balas bahawa pihaknya tidak mempunyai isu berhubung perkara tersebut, namun beliau maklum bahawa defendan pertama adalah Kerajaan Malaysia manakala hakim berkenaan pernah berkhidmat dalam kerajaan.

Pada 24 Januari lalu, sejumlah 28 hakim serta balu dan tanggungan mereka memfailkan saman pemula terhadap Kerajaan Malaysia dan tiga yang lain kerana gagal memberikan kenaikan pencen yang sepatutnya diterima sejak 2015.

Mereka ialah bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff dan dua bekas Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamed Noor dan bekas Hakim Besar Malaya wanita pertama, Tan Sri Siti Norma Yaakob.

Turut dinamakan sebagai plaintif dalam saman pemula itu ialah tujuh balu kepada bekas-bekas hakim termasuk balu kepada bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abdul Malek Ahmad.

Beberapa bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan Rayuan turut dinamakan sebagai plaintif ialah Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Mahdev Shankar, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Md. Yunus dan Datuk Shaik Daud Ismail.

Selain Kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam turut dinamakan sebagai defendan kedua hingga keempat.

Menurut penyataan yang difailkan, plaintif-plaintif terdiri daripada Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan yang telah bersara atau orang tanggungan hakim-hakim berkenaan yang telah meninggal dunia.

Ujarnya, mengikut Seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971, pencen hakim-hakim bersara dan tanggungan yang telah meninggal dunia diselaraskan secara automatik berdasarkan gaji semasa hakim-hakim yang masih berkhidmat dan disemak secara berperingkat dari semasa ke semasa.

Cara pengiraan pelarasan tersebut telah dinyatakan dalam Jadual Ketiga dan Keempat akta tersebut namun Jadual terbabit telah dipadamkan menyebabkan hak mereka terjejas apabila gaji hakim-hakim yang sedang berkhidmat telah dinaikkan berkuatkuasa dari 1 Julai 2015.

“Di bawah peruntukan seksyen 15B Akta Saraan Hakim 1971 (sebelum pindaan dibuat), pencen plaintif akan diselaraskan secara automatik sejajar dengan kenaikan gaji hakim yang masih berkhidmat.

Bagaimanapun, mengikut peruntukan seksyen 15B(1) (selepas pindaan dan dikira secara retrospektif), pencen hakim bersara diselaraskan setiap tahun dengan kenaikan 2 peratus dan tidak lagi mengambil kira kenaikan gaji yang diterima oleh hakim-hakim yang masih bekerja,” ujar dokumen terbabit.

Keadaan tersebut menyebabkan mana-mana hakim yang dilantik sebelum 1 Januari 2014 akan menerima pencen lebih rendah daripada yang sepatutnya.

Menurut Perkara Artikel 125(7) yang dibaca bersama Perkara 125(9) Perlembagaan Persekutuan, hak pencen seseorang hakim dilarang atau secara mandatori dihalang daripada diubah sehingga merugikannya selepas pelantikannya.

Plaintif mendakwa kesemua defendan bertanggungjawab membayar pencen dan faedah dengan kenaikan melebihi dua peratus setiap tahun.

Oleh itu, kesemua plaintif memohon deklarasi defendan-defendan telah melanggar Perkara 125(7) yang dibaca bersama Perkata 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana mereka gagal menetapkan peratusan kenaikan melebihi dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain sebaik sahaja kenaikan gaji hakim-hakim dan pesuruhjaya kehakiman yang sedang berkhidmat berkuatkuasa 1 Julai 2015.

Plaintif turut memohon deklarasi bahawa seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 adalah peruntukan mandatori yang terpakai serta merta dan boleh mengakibatkan kerugian bagi hakim-hakim bersara dan orang tanggungannya.

Selain itu, plaintif memohon agar kesemua defendan kedua dan ketiga menasihati Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk menetapkan kenaikan peratusan lebih tinggi daripada dua peratus setahun ke atas pencen dan faedah berkuat kuasa 1 Julai 2015.

Kesemua plaintif juga memohon satu perintah ke atas semua defendan agar membayar setiap plaintif jumlah pencen dan faedah yang sepatutnya diterima bermula 1 Julai 2015 dan semua pembayaran hendaklah dibuat serta merta selepas penghakiman dibuat.

Plaintif juga memohon ialah faedah pra-penghakiman dan penghakiman sebanyak lima peratus setiap satu dari tarikh penghakiman dibuat sehingga penyelesaian penuh. Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya