Perjanjian adalah hasil aturan sulit - Saksi - Utusan Malaysia

Perjanjian adalah hasil aturan sulit – Saksi

Najib Tun Razak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Azmi Tahir semalam beberapa kali dilihat `memulangkan paku buah keras’ ketika disoal balas oleh peguam bela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi di sini.

Pada satu ketika, peguam Datuk Hariharan Tara Singh selepas `dibidas’ oleh saksi pendakwaan ke-12 itu menyifatkan Azmi bersikap mempertahankan diri (defensive).

“Saya tidak bersikap `defensive’ tetapi saya menjawab apa yang awak tanya. Mungkin awak tak faham apa yang saya faham atau saya yang tak faham apa yang awak faham tetapi itu adalah jawapan saya,”kata saksi itu.

Azmi berkata demikian ketika memberikan sesi soal balas dalam perbicaraan kes Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Terdahulu, Azmi diasak berulang kali berhubung pernyataan saksinya yang menyatakan bahawa segala operasi di 1MDB berlaku secara rahsia.

Hariharan: Tadi awak menyatakan transaksi-transaksi yang berlaku adalah mengikut perjanjian. Kalau begitu, tiadalah aturan sulit (secret arrangement) macam yang awak kata dalam pernyataan saksi.

Azmi: Apa yang saya maksudkan ialah perkara-perkara yang berlaku sebelum perjanjian dibuat kerana tiba-tiba sahaja wujud perjanjian. Perkara yang membawa kepada perjanjian itu yang saya maksudkan aturan sulit.

Hariharan: Bukankah tadi awak kata ada perjanjian, ada restu daripada Datuk Seri Najib, jadi ini (pemindahan wang keluar dari 1MDB) bukanlah satu aturan sulit.

Azmi: Jadi adakah awak mengatakan bahawa duit 1MDB yang masuk dalam akaun Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) juga direstui Najib?

Jawapan tersebut menyebabkan peguam terbabit terdiam seketika.

Ketika disoal kenapa Azmi mengikut segala arahan yang diterima daripada Jho Low, saksi berkenaan menyatakan kerana pada ketika itu pengurusan tertinggi di 1MDB mempercayai bahawa lelaki tersebut adalah pembawa mandat daripada Ahli Parlimen Pekan itu.

Hariharan: Kenapa awak tak tanya Datuk Seri Najib semasa berjumpa di rumahnya?

Azmi: Pegawai atasan saya ada bersama pada masa itu, kenapa saya perlu bertanya.

Hariharan: Senangnya awak kata demikian.

Azmi: Awak pun senang juga tanya saya kenapa tak tanya Najib, kenapa awak tak tanya pegawai atasan saya?

Hariharan: Kenapa awak ikut sahaja cakap Jho Low, awak orang suruhan dia kan?

Azmi: Tidak. Sebab pada masa itu saya percaya Jho Low adalah orang paling rapat dengan Najib.

Hariharan: Ada awak tanya Datuk Seri Najib pasal arahan Jho Low? Kenapa awak percaya arahannya?

Azmi: Jho Low bukannya orangnya orang yang saya jumpa tepi jalan. Saya jumpa dia bersama dengan Najib.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawremce Sequerah bersambung esok.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya