Terserah pada mahkamah nilai bukti baharu Najib - Utusan Malaysia

Terserah pada mahkamah nilai bukti baharu Najib

WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Terserah kepada mahkamah untuk menilai bukti dan keterangan baharu dalam rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. sebanyak RM42 juta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan tidak masuk campur berhubung perkara itu kerana di luar bidang kuasa pihaknya.

“Sama ada diterima atau tidak, itu bergantung kepada penilaian mahkamah. Kita kerajaan tidak mempunyai kuasa dalam soal ini.

“Negara kita ada peraturan dan undang-undang, termasuk aspek pengasingan kuasa dalam badan kehakiman dan eksekutif,” katanya kepada Utusan Malaysia.


Beliau mengulas mengenai permohonan  bekas Perdana Menteri itu untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu dalam rayuannya berhubung kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. sebanyak RM42 juta.

Najib sebelum ini melalui firma guaman yang mewakilinya, Tetuan Shafee & Co. memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu.

Antaranya membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu untuk menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya SRC International.

Najib dalan afidavit sokongannya menyatakan, beliau memfailkan notis usul itu selepas mendapati keterangan-keterangan berkaitan penglibatan Zeti dan ahli keluarganya tidak dimaklumkan atau didedahkan kepada pasukan pembelaannya sebelum atau sepanjang perbicaraannya.

Jelasnya, beliau hanya mengetahui mengenai perkara tersebut selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengeluarkan kenyataan bahawa Singapura telah memulangkan AS$15.4 juta yang berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd. yang mempunyai kaitan dengan suami Zeti, Tawfiq Ayman.

Najib turut memohon mahkamah mendapatkan keterangan lisan viva (viva voce) daripada bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki; pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut berkaitan dengan dakwaan penglibatan Zeti dan keluarganya.

Rosli merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International itu manakala Azam tidak pernah dipanggil memberi keterangan sama ada sebagai saksi pendakwaan mahupun pembelaan.

Pada 23 November lalu, Najib memohon agar tarikh keputusan itu ditukar ke tarikh lain kerana Ahli Parlimen Pekan itu sedang menjalani kuarantin kendiri selepas pulang dari Singapura.

Permohonan tersebut bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Rayuan keesokan harinya dan mahkamah terbabit telah mengarahkan agar pihak-pihak hadir pada tarikh yang telah ditetapkan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya