Dua lelaki didakwa bunuh, culik, menyamar polis - Utusan Malaysia

Dua lelaki didakwa bunuh, culik, menyamar polis

M.MURUGAN dan Wong Yon Kuan dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson di sini atas pertuduhan membunuh, melarikan dan menyamar sebagai anggota polis. -UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan menculik seorang juruteknik serta menyamar sebagai anggota polis di sebuah rumah di Bandar Springhill, Lukut di sini, dua minggu lalu.

Tertuduh, M.Murugan, 44, yang merupakan seorang ketua pengawal keselamatan dan Wong Yon Kuan, 43, penganggur mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, V.Vanita.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, kedua-dua tertuduh bersama-sama tiga individu yang masih bebas didapati telah membunuh dan melarikan mangsa seorang lelaki, A.Vasuden, 39.

Kesalahan itu dilakukan di Jalan Springhill 3/3, Bandar Springhill, Lukut di sini antara pukul 5.40 hingga 9.45 pagi, 13 November lalu.

Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua iaitu melarikan mangsa, tertuduh didakwa mengikut Seksyen  364 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, perlu disebat.

Seterusnya bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama tiga individu yang masih bebas didapati menyamar sebagai penjawat awam iaitu polis di mana tertuduh bukanlah seorang penjawat awam yang sah.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan dalam prosiding kes.

Kesalahan itu dilakukan pada masa dan lokasi yang sama.

Sehubungan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama yang boleh dihukum penjara dua tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Nur athirah Zainuddin manakala tertuduh diwakili peguam, T. Harpal Singh.

Berdasarkan fakta kes, suspek yang menyamar sebagai anggota polis telah pergi ke rumah mangsa dan memaklumkan kedatangannya adalah untuk siasatan kes samun seterusnya meminta isteri mangsa mengeluarkan barang kemas hasil daripada samun dilakukan suaminya yang juga si mati.

Kemudian suspek mengarahkan mangsa mengikutnya menaiki sebuah van di hadapan rumah, namun, mangsa enggan menyebabkan suspek memukul dan mengheretnya sebelum dilarikan.

Mangsa telah dilaporkan meninggal dunia di Hospital Selayang pada pukul 4.30 petang pada hari kejadian.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, pihak polis kini giat memburu empat lagi individu yang masih bebas dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

Aidi Sham berkata, mereka adalah A.Davadas, 41, dari Rawang, Selangor seterusnya S.Paniselvam (Panir), 31 dari Taman Kepong Indah, Kuala Lumpur, P.Xavier (Beckam@Bob), 42, dari Rawang, Selangor dan C.Murugan (Romeo), 40, dari Selayang, Selangor. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya