Ahli Lembaga Pengarah 1MDB dipergunakan - Saksi - Utusan Malaysia

Ahli Lembaga Pengarah 1MDB dipergunakan – Saksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Tan Sri Ismee Ismail memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam bahawa dia dan ahli-ahli lembaga pengarah yang lain telah ‘digunakan’ untuk menampakkan setiap transaksi yang dibuat oleh syarikat pelaburan negara itu dibuat secara sah.

Tanpa menjelaskan `digunakan’ oleh siapa, saksi pendakwaan ke-13 itu turut menyatakan, mereka (ahli lembaga pengarah) tidak boleh berkata tidak atau membantah sebarang cadangan atau arahan yang diterima.

“Saya fikir kalau kami, lembaga pengarah berkata `tidak’, kami perlu meletakkan jawatan kami sebagai ahli lembaga pengarah. 

Selepas melalui segalanya (daripada siasatan sehingga sekarang), saya beranggapan lembaga pengarah digunakan bagi memperlihatkan segala transaksi dan inisiatif kelihatan sah sehingga maklumat yang mengelirukan atau tiada maklumat termasuk menyembunyikan maklumat daripada lembaga pengarah,”,”kata saksi pendakwaan ke-13 itu.

Ismee berkata demikian ketika disoal sewaktu pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya adhoc, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan kes Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan yang didakwa atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Terdahulu, Ismee menyatakan dia pernah menerima minit mesyuarat 1MDB bertarikh 18 Ogos 2014 yang mengandungi kertas cadangan bertajuk ‘Final Decision on 1MDB Energy Group IPO’.

“Dalam dokumen terbabit, terdapat perancangan supaya 1MDB Energy Holdings Limited membuat pinjaman sehingga AS$975 juta daripada Deutsche Bank AG untuk penebusan opsyen Aabar dan perkara ini dipersetujui oleh Najib.

“Saya sahkan Najib menandatangani Final Decisions ini sebagai CBOA 1MDB dengan menyertakan nota `YBhg Tan Sri Ismee, noted the contents with no objection’ (Yang Berbahagia Tan Sri Ismee, ambil maklum kandungan tanpa bantahan). Mudah difahami daripada nota ini, Najib sendiri mengarahkan saya sebagai pengerusi 1MDB Energy Group dan kami BOD (lembaga pengarah) 1MDB untuk melaksanakan pelan yang telah diaturkan ini,”katanya.

Selain itu, Ismee memberitahu, beliau meletakkan jawatanya di 1MDB kerana tidak mahu lagi terlibat dalam mana-mana keputusan yang akan dibuat syarikat terbabit dalam masa hadapan.

Bagaimanapun, perletakan jawatannya itu tidak diterima dan sebaliknya bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin memintanya untuk pada ketika itu terdapat cadangan untuk menukar keseluruhan ahli lembaga pengarah.

“Namun pada tahun 2016, kami semua Ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan 1MDB meletak jawatan kerana Lembaga Pengarah dan pengurusan baharu dilantik,” katanya.

Sebelum mengakhiri keterangannya, Ismee memberitahu walaupun setiap ahli lembaga pengarah mempunyai pandangan tersendiri mengenai ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho, namun kesemuanya sepakat untuk membuat keputusan atau mengambil tindakan untuk kepentingan syarikat.

“Ada ketika apabila dalam sesi perbicaraan semalam, saya tidak merasakan diri saya sebagai Ismee iaitu pengarah 1MDB tetapi mewakili Ahli Lembaga Pengarah yang lain…pada satu tahap saya kena berlaku adil kepada mereka kerana setiap individu ada tanggapan dam pandangan berbeza mengenai siapa Jho Low.

“Bagaimanapun akhirnya kami membuat keputusan secara bersama demi kepentingan syarikat, oleh itu pada tahun 2015, kami sebagai Lembaga Pengarah hanya mengetahui setakat apa yang diberikan kepada kami, tetapi sepanjang siasatan kami tahu lebih banyak perkara apa yang sebenarnya terjadi dan lebih banyak lagi sepanjang perbicaraan ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 13 Disember ini. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya