Guru agama nafi pukul pelajar OKU guna penyapu - Utusan Malaysia

Guru agama nafi pukul pelajar OKU guna penyapu

TERTUDUH Mohamad Haslam Abdul Salam dibawa keluar oleh anggota polis selepas dituduh memukul pelajarnya di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang guru agama mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan memukul pelajarnya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) sehingga cedera menggunakan penyapu, Ahad lalu.

Tertuduh, Mohamad Haslam Abdul Salam, 32, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan cedera di bahagian belakang badan, kedua-dua tangan dan kaki seorang lelaki OKU itu dengan menggunakan sebatang penyapu.

Tindakan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 7 pagi di Taman Gadong Bahagia dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Ogos lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun atau dengan sebat atau dengan denda atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu mengikut Seksyen 326 A Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa yang merupakan pelajarnya dan saksi lain.

Tertuduh yang diwakili Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan dia kini menanggung keluarga termasuk tiga orang anak dan bekerja sebagai guru agama di sebuah madrasah.

Selepas mendengar hujah kedua pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan tarikh 27 September depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya