Rayhan Kabir kekal direman 13 hari - Utusan Malaysia

Rayhan Kabir kekal direman 13 hari

MD. Rayhan Kabir (tengah) dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini dengan diiringi pegawai Jabatan Imigresen berkaitan semakan perintah reman terhadapnya. - FOTO/SITI ROHAIZAH ZAINAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan semakan reman 13 hari lelaki warga Bangladesh yang mencetuskan kontroversi melemparkan tohmahan dan dakwaan tidak berasas terhadap stesen televisyen antarabangsa, Al Jazeera.

Ini sekali gus mengekalkan tahanan reman terhadap warga Bangladesh, Md. Rayhan Kabir, 27, selama 13 hari yang bermula 6 Ogos itu diteruskan.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memutuskan perkara itu dengan alasan penahanan reman terhadap lelaki terbabit melibatkan integriti negara.

“Saya berpendapat tempoh ini dirasakan sesuai bagi Jabatan Imigresen melakukan siasatan untuk kepentingan negara.

“Tiada sebab untuk saya menyemak semula perintah reman ini kerana bagi saya tempoh 13 hari adalah yang sepatutnya dan munasabah. 

“Malah, pegawai penyiasat dalam laporan mereka menyebut dia (Md. Rayhan) direman untuk siasatan selain penahanan dibuat melibatkan kedaulatan negara,” katanya.

Terdahulu, Peguam C. Selvaraja mewakili Md. Rayhan dalam prosiding berkata, tempoh reman itu disifatkan tidak tepat susulan anak guamnya telah ditahan 14 hari kerana tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1957/63.

“Pas tinggal di Malaysia telah ditamatkan pada 9 Jun dan dia juga telah ditangkap 24 Julai serta ditempatkan di depoh selama 14 hari.

“Saya berpendapat tidak perlu anak guam saya direman kerana telah ditahan 14 hari mengikut Akta Imigresen,” ujarnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Imigresen, Fazril Sani Mohamed Fadzil menegaskan tempoh reman selama 13 hari itu munasabah kerana melibatkan integriti negara.

“Selain itu, kes ini mendapat liputan meluas media,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Khas Kes Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) Semenyih membenarkan permohonan Jabatan Imigresen untuk menahan reman Md. Rayhan Kabir selama 13 hari.

Hakim Saifulakmal Md. Said memutuskan demikian bagi membolehkan siasatan lanjut ke atasnya dapat dijalankan Jabatan Imigresen.

Sebelum itu, Md. Rayhan ditahan Unit Risikan dan Operasi, Jabatan Imigresen pukul 5.45 petang, pada 24 Julai lalu di Setapak, Kuala Lumpur selepas menyembunyikan diri selama 18 hari.

Dia diburu kerana membuat dakwaan palsu berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia terhadap PATI ketika negara ini menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras penularan Covid-19  menerusi dokumentari berjudul ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ ketika ditemu bual stesen televisyen antarabangsa Al Jazeera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.