Impiana KLCC rai kanak-kanak rumah kebajikan

Impiana KLCC rai kanak-kanak rumah kebajikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI 40 kanak-kanak dari rumah kebajikan Budimas Orion Home Seremban diraikan dalam program khas sempena Ramadan yang dianjurkan oleh Impiana KLCC, baru-baru ini.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bertujuan memberikan pengalaman bermakna kepada kanak-kanak dari rumah kebajikan tersebut.

Program itu dimulakan dengan lawatan pendidikan ke Petrosains, The Discovery Centre yang memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka pameran sains interaktif serta aktiviti pembelajaran yang menarik, sekali gus memberikan pengalaman yang menyeronokkan dan bermanfaat di luar persekitaran harian mereka.

Selepas lawatan, kesemua kanak-kanak itu menyertai majlis berbuka puasa bersama pihak pengurusan hotel yang menjadi platform untuk berkongsi semangat Ramadan melalui nilai kebersamaan, kesyukuran dan keprihatinan.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif CSR itu, pihak hotel turut menyampaikan sumbangan tunai kepada rumah kebajikan itu bagi membantu menyokong keperluan kebajikan dan operasi harian mereka.

Kegembiraan dan keceriaan jelas terpancar di wajah-wajah kanak-kanak itu selepas menerima hadiah dan duit raya sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Inisiatif bermakna itu mencerminkan komitmen berterusan Impiana KLCC dalam menyumbang kepada masyarakat serta menyebarkan kegembiraan kepada mereka yang memerlukan, terutamanya sempena musim perayaan.

Melalui inisiatif seperti ini, Impiana KLCC berharap dapat terus memupuk nilai kasih sayang, mengeratkan hubungan komuniti serta menyemarakkan semangat Ramadan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN