Netizen jangka Raya mengejut 2.0 - Utusan Malaysia

Netizen jangka Raya mengejut 2.0

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini hangat diperkatakan dalam kalangan netizen terutama di Threads apabila ramai menjangkakan perayaan tersebut mungkin jatuh pada Jumaat, 20 Mac 2026.

Perbincangan itu semakin tular selepas beberapa pengguna berkongsi jangkaan mereka dengan menyatakan Syawal mungkin jatuh pada tarikh tersebut berdasarkan kiraan kalender Islam serta perbandingan dengan permulaan Ramadan tahun ini.

Terdapat juga yang berkongsi tangkapan skrin kalender dan membuat analisis ringkas mengenai kemungkinan kemunculan anak bulan Syawal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Rata-rata pengguna media sosial turut meluahkan keterujaan sekiranya sambutan Hari Raya Aidilfitri benar-benar jatuh pada tarikh tersebut kerana ia berpotensi memberi cuti hujung minggu yang lebih panjang kepada sebahagian pekerja dan pelajar untuk pulang ke kampung meluangkan masa bersama keluarga.

“Tahun ni kita kena buat dua plan. Plan raya Jumaat 20/3 dan plan raya Sabtu 21/3, jadi dah siap plan awal-awal kita pun tak kalut. Raya kena follow anak bulan, dalam kalander tu ramalan sahaja. Jadi siapkan 2 plan, terima dengan hati terbuka,” ujar seorang pengguna Threads, pencetusummah-amin.

Walau bagaimanapun, tarikh sebenar Hari Raya Aidilfitri di Malaysia hanya akan diumumkan secara rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja selepas proses cerapan anak bulan dilakukan oleh pihak berkuasa agama di beberapa lokasi yang ditetapkan di seluruh negara.

Tarikh melihat anak bulan Syawal 2026 telah ditetapkan pada Khamis, 19 Mac.

Justeru, segala tarikh yang beredar ketika ini hanyalah jangkaan berdasarkan kiraan dan analisis tertentu mereka.

Perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial masih berterusan, dengan sebahagian pihak beranggapan bahawa kemungkinan Hari Raya Aidilfitri tahun ini jatuh pada hari Jumaat tetap ada.

Ada juga yang berkongsi pandangan daripada individu yang mempunyai latar belakang dalam bidang falak.

“Beberapa malam lepas pun, masa moreh kawan kepada kawan saya pun kata hal yang sama. Katanya ayahnya berpesan mungkin raya tahun ni mengejut sama macam 2022. Saya mula ambik serius kerana ayahnya memang ahli falak. Hujahnya ialah umur bulan sudahpun 9 jam pada 29 Ramadan nanti,” kata uthmandaud.

Namun begitu, terdapat juga pengguna yang berpandangan sebaliknya berdasarkan data cerapan dan kiraan semasa.

Menurut mereka, kebarangkalian untuk melihat anak bulan pada petang 19 Mac agak sukar, sekali gus menjadikan 1 Syawal lebih berkemungkinan jatuh pada Sabtu, 21 Mac, kecuali sekiranya hilal memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh MABIMS. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini