Tiada siapa peduli nasib Tasik Mentiga? - Utusan Malaysia

Tiada siapa peduli nasib Tasik Mentiga?

JOHENG Lah menunjukkan dua gambar Tasik Mentiga asal (kiri) dan kini penuh dengan rumput rampai menjadi faktor tasik semakin kering di Pekan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEKAN: Penduduk Orang Asli di Kampung Tasik Mentiga di sini kecewa apabila Tasik Mentiga terbiar tanpa sebarang usaha membaik pulih selepas terjejas teruk akibat penerokaan hutan dan pembangunan tanah pertanian.

Seorang penduduk jati dari etnik Jakun, Akid Huat, 66, berkata, tidak ramai yang tahu kewujudan Tasik Mentiga berkeluasan kira-kira 121 hektar itu kerana kurang pendedahan tentang kawasan tersebut yang kini berpaya.

Katanya, sebelum tahun 1970-an, Tasik Mentiga sama seperti Tasik Chini sebagai sumber protein kepada penduduk Orang Asli etnik Jakun dan tarikan pelancong untuk menyaksikan keindahan alam semula jadi.

“Ketika itu Tasik Mentiga cantik dengan keindahan flora dan fauna terutama pada Jun apabila bunga teratai berkembang. Dulu lebih 30 jenis ikan ada di tasik ini dan boleh dipancing dengan mudah.

“Tetapi kini Tasik Mentiga ‘mati’ dengan dipenuhi rumpai yang hampir menjadi daratan. Sehingga kini, seolah-olah tiada siapa peduli tentang nasib tasik berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Akid berkata, di persekitaran Tasik Mentiga dihuni kira-kira 100 keluarga Orang Asli etnik Jakun yang menjadikan getah dan kelapa sawit sebagai sumber pendapatan mereka.

“Pihak berkuasa wajar mengambil inisiatif mengembalikan keindahan dan fungsi Tasik Mentiga sebagai tarikan pelancong. Kos tinggi diperlukan bagi mendalami tasik dan membuang rumput rampai penyebab air kekurangan oksigen dan tasik menjadi cetek,” katanya.

Tok Batin Kampung Tasik Mentiga, Joheng Lah, 62, berkata, perubahan mendadak tasik berkenaan berlaku pada 1975 apabila banyak pokok diteroka dan ditebang untuk pertanian.

“Semasa saya kecil, tasik ini menjadi tempat mandi-manda kerana airnya sangat jernih boleh lihat ke dasar malah boleh melihat ikan bermain-main. Ditebingnya tumbuh pokok rasau yang akarnya tempat bermain anak dan ikan serta udang selain menjadi menjadi penampan.

“Tasik ini menjadi habitat lebih 40 spesies ikan dan udang tetapi kini hanya dihuni kurang separuh jenis seperti haruan, puyu, temakang, toman, keli iaitu jenis ikan ‘nyawa liat’,” katanya.

Dia berharap Tasik Mentiga tidak terus terbiar dan kembali dipulihkan kerana lokasi ini suatu ketika dahulu sebuah tasik yang pernah menjadi ikonik dan tumpuan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kerabat Diraja Pahang menikmati fenomena alam semula jadi di situ.

“Jika dipulihkan, tasik ini sesuai dijadikan destinasi sukan air, pusat pembiakan ikan air tawar semula jadi, aktiviti memancing, pusat riadah, projek ikan sangkar, di samping aktiviti inap desa,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN