Bomba bantu turunkan lelaki 140 kg dari tingkat empat

Bomba bantu turunkan lelaki 140 kg dari tingkat empat

ANGGOTA bomba membawa turun seorang lelaki dengan berat 140 kg dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Lorong Pandan, Melaka.

MELAKA: Sepasukan bomba mengambil masa hampir 30 minit bagi membawa turun seorang lelaki seberat 140 kilogram (kg) dari tingkat empat sebuah pangsapuri di Lorong Pandan, di sini hari ini.

Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Sofian Hassan berkata, mangsa yang berumur 50 tahun itu dibawa turun untuk dihantar ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, mangsa dipercayai tidak mampu bangun sendiri untuk dibawa oleh anggota perubatan ke hospital berkenaan.

“Sampai di lokasi kejadian pukul 10.13 pagi, didapati benar terdapat seorang mangsa lelaki obesiti berumur 50 tahun terbaring di dalam bilik kerana dipercayai tidak mampu untuk bangun, untuk dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) ke hospital.

“Seramai tujuh anggota bomba membantu mengangkat mangsa dengan dibantu pihak KKM dengan menggunakan cadar turun ke bawah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambah Mohd. Sofian, mangsa berjaya dibawa turun tanpa sebarang kecederaan kira-kira pukul 10.48 pagi.

“Setelah memastikan tiada kecederaan pada mangsa dan tiada unsur yang boleh mendatangkan keberbahayaan, pasukan bertugas berlepas balik ke balai,” jelasnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN