RIYADH: Arab Saudi berdepan risiko kehabisan stok minyak untuk eksport jika saluran paip utama yang rosak akibat serangan dron tidak dapat dipulihkan dalam tempoh beberapa hari.
Pembeli minyak dan pedagang memberi amaran gangguan terhadap saluran paip berkenaan boleh menjejaskan sehingga empat peratus bekalan minyak global.
Imej satelit yang dikeluarkan pada Ahad lalu menunjukkan sebuah stesen pam di saluran paip timur-barat Arab Saudi sepanjang 1,200 kilometer (km) mengalami kebakaran dan kerosakan teruk selepas serangan dron pada Jumaat.
Kemerosotan aliran minyak dari Arab Saudi selaku pengeksport minyak terbesar dunia dijangka memburukkan lagi krisis bekalan global yang sudah menyebabkan harga bahan api melonjak ke paras tertinggi dan mendorong peningkatan inflasi.
Perkembangan itu berlaku ketika pasukan Houthi yang disokong Iran melancarkan serangan terhadap sasaran di Arab Saudi dan menawan Pulau Perim di Selat Bab al-Mandab, sekali gus meluaskan penguasaan mereka terhadap laluan sempit tersebut.
Sejak serangan dron memaksa saluran paip itu ditutup, Riyadh masih belum memberikan butiran penuh mengenai tahap kerosakan atau tempoh laluan berkenaan akan terhenti operasi.
Arab Saudi menuduh serangan itu dilakukan menggunakan dron yang dilancarkan dari Iraq.
Sumber Reuters mendakwa, kerja pembaikan mungkin mengambil masa sehingga enam minggu, manakala seorang lagi berkata, ia boleh disiapkan lebih awal dan saluran paip dijangka kembali beroperasi secara separa ketika pembaikan dijalankan.
Dua pegawai Arab Saudi memberita Associated Press (AP), sebahagian besar saluran paip itu dijangka tidak dapat beroperasi selama beberapa minggu.
Sejak enam bulan lalu, saluran paip yang merentasi kawasan gurun di Semenanjung Arab membantu mengurangkan kesan penutupan Selat Hormuz akibat perang yang menjejaskan eksport negara jiran Arab Saudi.
Arab Saudi menggunakan saluran paip itu untuk mengalihkan kira-kira empat juta tong minyak sehari, bersamaan sekitar empat peratus bekalan global ke pelabuhan Yanbu di Laut Merah.
Namun, selepas saluran paip itu ditutup, Yanbu kini hanya mempunyai stok yang mencukupi untuk meneruskan eksport bagi tempoh lima hingga tujuh hari, menurut tiga sumber industri yang mengetahui mengenai eksport minyak Arab Saudi.
Arab Saudi turut mempunyai stok untuk membekalkan pelanggan bagi tempoh beberapa hari dari pelabuhan Ain Sukhna di Laut Merah, Mesir dan Sidi Kerir di Mediterranean, menurut sumber keempat.
Keempat-empat sumber berkata, stok minyak berkenaan tidak mencukupi dan akhirnya akan habis jika saluran paip timur-barat itu tidak kembali beroperasi.










