PASIR SALAK: “Bangun awal pagi tapi pendapatan RM5, RM6 sehari, apa saya nak makan? Kalau berterusan macam ini, lebih baik saya tanam kelapa sawit, sudah tentu lagi untung’.
Itu kata Seman Anak Chuon, 52, penoreh getah di Kampung Palawan, Langkap dekat sini mengenai punca pendapatannya yang bergantung hidup kepada komoditi itu sejak berpuluh tahun namun harga getah statik, tidak banyak berubah.
Menurut Seman yang merupakan penduduk Orang Asli di Langkap, nasib penoreh sepertinya memang berbeza dengan mereka yang menanam kelapa sawit.
Katanya, ketika harga kelapa sawit melonjak tinggi dan jika jatuh harga pun tidak terlalu rendah, harga getah pula sebaliknya kerana tidak pernah mencatat harga yang tinggi yang boleh memuaskan hati penoreh.
“Harga getah susu sekitar RM12 sekilogram, sekerap kering pula RM5 sekilogran manakala sekerap basah RM3 sekilogram. Dalam sehari berapa sangat yang mampu saya toreh dengan kebun seluas seekar, parah lagi jika hujan.
“Dengan harga serendah ini, berapa sangat kami boleh dapat kadang-kadang hanya RM5, RM6 sehari, macam mana nak hidup kalau berterusan begini.
“Apatah lagi macam saya yang ada enam anak perlu ditanggung,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, dengan harga getah serendah sekarang, dia merasakan tidak berbaloi jika terus menoreh.
“Saya sudah lama menoreh, tapi harga getah langsung tak berganjak. Kalau keadaan ini berterusan lebih baik saya tukar kepada tanaman kelapa sawit, apatah lagi sekarang harga sawit melambung tinggi,” katanya.
Menurut Seman, dia kesal jika ketika golongan itu terus hidup dalam kemiskinan, syarikat-syarikat getah ternama pula mengaut keuntungan.
Katanya, sepatutnya keuntungan yang dinikmati syarikat getah turut sama dirasai oleh penoreh.
“Memang tidak adil jika syarikat getah untung besar sedangkan kami terus hidup susah.
“Sebenarnya isu harga ini bukan di peringkat kilang yang besar-besar saja, malah di peringkat jualan di kebun pun kami berdepan pelbagai alasan pembeli yang menyebabkan harga yang kami jual begitu rendah.
“Macam-macam alasan diberikan oleh pembeli seperti getah basahlah, getah keringlah.
“Saya berharap kerajaan mengkaji langkah yang terbaik untuk membantu kami agar usaha kami yang bangun awal pagi untuk menoreh, mendatangkan hasil yang berbaloi,” katanya. –UTUSAN ONLINE