Keadaan Jahidah makin lemah  - Utusan Malaysia

Keadaan Jahidah makin lemah 

JAHIDAH Nordin disisi bayi lelakinya, J Eshan Nufail sebelum dimasukkan ke hospital akhir bulan Januari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keadaan kesihatan wanita mangsa keganasan rumah tangga yang sebelum ini koma dipukul suami, Jahidah Nordin, 43, kini semakin lemah selepas di disahkan positif Covid-19 minggu lalu.

Adiknya, Fauziah Nordin, 40,  berkata, pihak doktor telah menghubunginya beberapa kali bagi memaklumkan keadaan Jahidah yang berisiko mengalami jantung berhenti selain memerlukan proses bantuan pernafasan (CPR).

Menurut Fauziah, kakaknya telah selesai menjalani tempoh kuarantin selama sembilan hari pada 6 Mac lalu dan telah dipindahkan semula ke wad biasa di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.

“Kali keberapa doktor panggil lagi nak terangkan tentang kakak, dengan keadaan kakak macam itu, badan makin lemah, risiko jantung berhenti..

“Kalau terjadi keadaan lagi teruk, kami pun tidak mengharapkan macam itu,  Perlukan persetujuan waris untuk buat CPR. Tetapi, keadaan itu akan menyeksakan dia, dia memang terlantar, telah banyak kesakitan yang dia lalui selama hampir setahun,” katanya yang berkongsi luahan perasaannya tentang keadaan Jahidah di media sosial Facebook dan Tik Tok miliknya.

Fauziah yang kini menggalas tanggungjawab menjaga satu-satunya bayi yang juga permata hati Jahidah, J Eshan Nufail turut melahirkan rasa sebak dan risau memikirkan keadaan Jahidah yang hidup menderita hanya di atas katil.

“Ya Allah, memang saya tak tahan lagi seksa kakak, tetapi bila fikir Nufail, sebak rasa, tidak henti lagi mengalir air mata ni, sakit sangat tidak tahu mahu luah macam mana. Ajal maut di tangan tuhan, tetapi apa yang doktor beritahu itu ada betulnya. Mungkin kalau dia boleh balik rumah pun, tidak tahu berapa lama,” luahnya.

Pada 24 Februari lalu, Utusan Malaysia melaporkan Jahidah disahkan positif Covid-19 ketika dirawat di HTJ di sini.

Pihak hospital memaklumkan Jahidah dijangkiti Covid-19 berikutan terdapat kes pesakit lain positif di wad sama sebelum ini.

Jahidah selamat melahirkan bayi lelaki, J Eshan Nufail secara pembedahan pada 30 November 2021.

Dalam kejadian pada 4 Mei 2021, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun. 

Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar,  Seremban atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital. 

Sebelum ini pada 17 Jun 2021, suami mangsa, Rosmaini Abd. Raof mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor atas pertuduhan memukul isterinya yang hamil sehingga koma. –UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN