Dua gol Akhyar Rashid bawa TFC ke suku akhir Piala FA

Dua gol Akhyar Rashid bawa TFC ke suku akhir Piala FA

AKHYAR Rashid (tengah) meraikan jaringan gol bersama rakan pasukan ketika Terengganu FC (TFC) bertemu Imigresen FC dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu malam ini. -UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kelincahan dan penyudah tajam Akhyar Rashid yang menghasilkan dua jaringan membantu Terengganu FC (TFC) membenam Imigresen FC 3-0 sekali gus melangkah ke suku akhir Piala FA dalam aksi kedua pusingan 16 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, di sini malam ini.

Turun dengan misi memburu jaringan selepas tewas 1-2 pada perlawanan pertama di Pulau Pinang, skuad kendalian Badrul Afzan Razali bermula garang sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan dengan asakan bertali arus ke kubu lawan.

Beberapa percubaan awal hampir menghadiahkan jaringan buat tuan rumah termasuk rembatan Akhyar pada minit keempat dan peluang terbaik menerusi Careca enam minit kemudian yang sekadar melambung tinggi. Percubaan Gabriel Silva pada minit ke-13 juga tersasar walaupun hanya berdepan penjaga gol oasukan lawan, Zarif Irfan Hashimuddin.

Usaha berterusan TFC akhirnya berbaloi pada minit ke-18 apabila rembatan deras Nurillo Tukhtasinov gagal ditangkap kemas Zarif sebelum bola muntah pantas disambar penyerang import, Junior Sam untuk meletakkan TFC di depan 1-0 sekali gus menyamakan kedudukan agregat 2-2.

TFC hampir menggandakan kedudukan pada minit ke-25 selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti berikutan insiden Azfar Fikri menjatuhkan Akhyar dalam kotak penalti namun keputusan itu dibatalkan selepas pengadil meneliti rakaman Video Bantuan Pengadil (VAR).

Enam minit kemudian, Akhyar bangkit menebus kekecewaan apabila gerakan solonya memperdaya Rizal Ghazali sebelum tenang menewaskan penjaga gol untuk meletakkan TFC selesa mendahului 2-0 pada babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, TFC terus menekan dan sekali lagi Akhyar mencuri tumpuan pada minit ke-51. Kali ini, hantaran kemas Sam mudah ditolak masuk Akhyar untuk menjadikan kedudukan 3-0, sekali gus melengkapkan malam gemilang skuad Penyu.

Di sebalik keampuhan jentera serangan, watak utama di gawang TFC turut ditampilkan Suhaimi Husin yang beraksi cemerlang. Beliau menafikan percubaan berbahaya Eduardo Jose Sosa Vegas pada minit ke-56, diikuti rembatan deras Pedro Santos enam minit kemudian selain sekali lagi bertindak tangkas pada minit ke-73 untuk menafikan peluang terbaik pelawat mendapatkan gol saguhati.

Kemenangan itu menyaksikan TFC mara ke suku akhir dengan agregat 4-2 manakala dua jaringan peribadi Akhyar mengangkatnya sebagai wira perlawanan di hadapan penyokong setia Sang Penyu di Gong Badak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN