KANGAR: Kerajaan diminta mengkaji semula penggunaan daun ketum khususnya untuk dikomersialkan termasuk untuk tujuan perubatan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baru negeri, Asmaiza Ahmad berkata, ramai dalam kalangan penduduk negeri ini mendakwa keberkesanan tumbuhan berkenaan mencegah Covid-19 walaupun secara saintifiknya belum dibuktikan.
Katanya, penduduk kampung yang sudah merasai manfaat sembuh daripada Covid-19 mengesyorkan kepadanya agar minum air daun berkenaan.
“Daun ketum sememangnya sudah menjadi ubat untuk rawatan tradisional sejak dahulu lagi dan mempunyai banyak khasiat termasuk merawat sakit perut, cirit-cirit dan masalah cacing dalam kalangan kanak-kanak.
“Untuk rawat Covid-19, orang kampung cadangkan kepada saya untuk rendam tiga helai daun ketum yang dibuang urat tengahnya di dalam air panas dan kemudian minum. Saya tidak buat kerana tidak berani.
“Tetapi mereka (penduduk) yang mengamalkannya mengatakan demam mereka berkurangan bila minum air itu. Ia betul-betul menggunakan ketum dan tidak dicampurkan dengan bahan-bahan lain seperti yang dilakukan segelintir anak-anak muda kini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kajian semula perlu dilakukan agar ketum dapat dihalalkan dan memberi pendapatan kepada orang kampung.
Menurutnya, ketum boleh dikomersialkan sebagai ubat dan tidak salahnya untuk Malaysia berbuat demikian kerana banyak negara luar sudah menjadinya sebagai ubat.
“Ketum ini boleh diletakkan di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti yang kita buat pada tembakau dulu dan kini kenaf.
“Kenaf juga di bawah keluarga ketum, jadi kenapa kita tidak kita bekerjasama dengan orang yang tanam ketum ini untuk buat ubat dengan cara yang betul dan terkawal,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut berkata, isu itu perlu dirujuk oleh Kementerian Kesihatan.
“Pihak polis hanya menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Racun,” jelasnya. –UTUSAN ONLINE