Kerjasama dagangan Malaysia, Turkiye bernilai RM47b

Kerjasama dagangan Malaysia, Turkiye bernilai RM47b

ANWAR Ibrahim dan Recep Tayyib Erdogan bertukar dokumen Deklarasi Bersama Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC) Malaysia Turkiye sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye, di Ankara, semalam. – Pejabat Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Kerjasama startegik Malaysia dan Turkiye bakal memberi manfaat perdaga­ngan bernilai sekitar RM47 bi­lion (AS$10 bilion) untuk kedua-dua buah negara, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dicapai pada lawatan beliau ke negara itu yang berakhir semalam dan ia dilihat realistik selepas mengambil kira kekuatan ekonomi Turkiye serta pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia yang kini menjadi tumpuan pelaburan bernilai tinggi.

“Sasaran AS$10 bilion (RM47 bilion) itu sebenarnya bukan cita-cita tinggi kerana Turkiye mempunyai ekonomi yang kukuh.

“Malaysia, walaupun bersaiz lebih kecil, tetapi berkembang dengan sangat pantas dan kini menjadi tarikan utama dalam sektor semikonduktor, pusat data kecerdasan buatan serta teknologi baharu,” katanya dalam kenyataan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di Kompleks Presiden, Ankara, Turkiye.

Anwar berkata, Malaysia mendapat manfaat ketara daripada pengaturan perolehan kerajaan ke kerajaan yang membabitkan industri pertahanan Turkiye, terutama tentera laut dan aeroangkasa dan menyifatkan kerjasama itu sebagai ke-lebihan utama untuk Malaysia.

Katanya, kerjasama sedemi­kian juga mencerminkan model perkongsian baharu berlandaskan prinsip tadbir urus yang baik dan ketelusan dengan skop kerjasama dua hala itu akan diperluaskan lagi untuk me­rangkumi industri halal dan kewangan Islam, yang disifatkan sebagai sektor yang mempunyai potensi kukuh untuk kedua-dua negara meneroka dan memajukan bersama.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 berjum­lah RM21.2 bilion (AS$4.92 bi­lion), ia menekankan kepen­tingan Turkiye yang berterusan sebagai rakan kongsi ekonomi untuk Malaysia.

Pada 2024, Turkiye adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara-negara di Asia Barat dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion).

Terdahulu, Anwar dan Erdogan menyaksikan pemeteraian tujuh dokumen bagi mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua negara merentasi pelbagai bidang keutamaan termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) dalam Bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Turut dimeterai, MoU antara Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia de­ngan Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA).

Selain itu, Surat Niat (LoA) perolehan sebuah Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2 turut dimeterai antara Kementerian Dalam Negeri Malaysia dan Desan Shipyard.

Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran Surat Setuju Terima Perolehan satu unit Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) 2, sebagai sebahagian pengukuhan kerjasama pertahanan dua hala.

Dalam pada itu, Anwar berkata, Malaysia dan Turkiye bersetuju meningkatkan hubungan dua hala ke tahap Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi (HLSCC).

Katanya, usaha itu bagi mempercepat kerjasama perdagangan, pelaburan dan ekonomi dalam suasana ketidaktentuan global yang semakin mencabar.

“Kami sedar bahawa kerjasama yang bersifat praktikal sahaja tidak lagi mencukupi dalam dunia yang penuh ketidaktentuan ketika ini.

“Keadaan ini menuntut pen­dekatan dan dasar baharu yang lebih menyeluruh, khususnya bagi memperkukuh perdaga­ngan, pelaburan dan kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya.

Terdahulu, Anwar dan Recep Tayyip membincangkan usaha kerjasama dua hala dalam menghadapi cabaran geopolitik dan ekonomi global yang semakin kompleks.

Perdana Menteri kemudian dianugerahkan Order of the Republic, darjah kebesaran tertinggi Turkiye sebagai pengiktirafan terhadap peranan beliau dalam memperkukuh hubu­ngan dua hala antara Malaysia dan Turkiye.

Anugerah berkenaan disampaikan Presiden Turkiye dalam satu majlis rasmi di Kompleks Presiden, bersempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri ke republik itu berakhir semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN