KULIM: Seorang lelaki terkejut apabila menemukan seekor ular sawa yang kekenyangan selepas menelan seekor ayam jantan sebelum ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Maryland, Karangan di sini hari ini.
Pegawai APM Daerah Kulim, Leftenan (PA) Mohd. Faizol Ab. Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai penemuan ular sawa sepanjang dua meter dan berat 10 kilogram itu kira-kira pukul 10.31 pagi.
Katanya, pengadu seorang lelaki berusia 35 tahun memaklumkan mereka terdengar bunyi bising ayam di dalam reban yang terletak di tepi rumahnya.
Menurutnya, lelaki itu kemudian meninjau ke dalam rebannya yang menempat kira-kira enam ekor ayam jantan dan terkejut apabila mendapati seekor ular sawa berada di dalam reban ayam tersebut.
“Pengadu bertindak menghubungi pihak APM untuk mendapatkan bantuan dan lima anggota APM tiba di lokasi kemudian mengesan ular terbabit yang masih berada di dalam reban.
“Anggota APM mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap ular itu yang bersembunyi di dalam reban ayam terbabit,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, ular sawa itu kemudian dibawa balik ke Pejabat APM Daerah Kulim sebelum dihantar ke Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah untuk tindakan lanjut.
“Pada bulan Februari ini sahaja, kira-kira 41 kes tangkapan ular dilaporkan dalam daerah ini melibatkan ular berbisa dan ular tidak berbisa,” ujarnya. –UTUSAN ONLINE