PUTRAJAYA: Orang Islam disaran menukar sambutan hari kekasih (Valentine) kepada menyuburkan cinta kepada Allah dan rasul serta mengeratkan hubungan silaturrahim sesama insan.
Ini kerana sambutan Valentine yang merupakan adaptasi budaya barat demi mengagungkan pasangan kekasih di luar pernikahan menyalahi hukum Islam.
Mengingatkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, hari Valentine yang disambut pada 14 Februari setiap tahun mempunyai hubung kait dengan agama Kristian dan memuja paderi mereka.
Kata beliau, pemujaan itu diadaptasi kepada hari berkasih sayang dengan menggalakkan pasangan kekasih bebas bergaul dan bermesra-mesraan yang secara jelas dilarang agama Islam dan melanggar adab Melayu itu sendiri.
“Sambutan Valentine orang Barat membuat penganjuran sebegitu menjurus kepada kemaksiatan dengan berpegangan tangan, bersosial tanpa batasan. Jadi kita tidak mahu meniru secara membabi buta, tidak harus ikut adab seperti itu.
“Sepatutnya sebagai orang Islam kita menghidupkan kecintaan sesama kita iaitu mengajak orang supaya sayang kepada Allah dan rasul. Tukar sambutan cara sebegitu, jangan terikut-ikut budaya Barat secara membabi buta menyebabkan kita lupa hukum-hakam Islam.
“Sambutan Valentine ini juga boleh ditukar untuk mengajak orang bukan Islam supaya kenal dengan Islam bahawa Islam ini bukanlah agama yang mengajak kepada keganasan dan akhirnya mereka lebih menghormati agama Islam dan tidak berdendam,” katanya di sini semalam.
Menyokong pendapat sama, Imam Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Mohd. Radhi Abdul Ghani berkata, masalah umat Islam khususnya di Malaysia suka mengimport budaya barat seolah-olah mengagungkan budaya tersebut tanpa mengenal asal usul budaya itu.
Sedangkan, kata beliau, jika dikaji asal usul Valentine itu ialah satu ritual atau perayaan yang mempunyai perkaitan agama Kristian dan secara jelas perilaku merayakan sambutan hari itu pada zaman kini adalah menggalakkan pasangan kekasih sehinggakan berhubungan haram di luar nikah atas dasar hari kekasih.
Oleh itu, kata beliau, perbuatan seumpama itu perlu dijauhkan sama sekali dan tidak perlu terpengaruh budaya tersebut, bahkan dalam Islam tidak ada istilah berkasih-kasih sebelum pernikahan dan cukup sekadar mengenali sebelum menghalalkan hubungan.
“Islam ini bukan setakat melarang hubungan di luar pernikahan, malah melarang jangan langsung mendekatinya perbuatan ke arah zina, dan perhubungan di luar nikah ini adalah satu perkara yang dilarang dalam Islam dan satu perbuatan keji.
“Sebab itu para agamawan mengeluarkan pandangan bahawa sambutan Valentine ini hukumnya haram, tetapi ada pula menyatakan bahawa Islam itu berfikiran sempit.
“Sebenarnya ia jelas ia tidak ada apa-apa kebaikan. Kalau nak zahirkan cinta kepada pasangan, carilah hari lain seperti meraikan hari lahir, hari ulang tahun perkahwinan dan sebagainya. Apabila satu perkata nyata hukumnya, jadi tinggalkanlah, maka hidup kita diberkati,” katanya. -UTUSAN ONLINE