Tiga jam redah jalan balak jejak bekas anggota Senoi Praaq - Utusan Malaysia

Tiga jam redah jalan balak jejak bekas anggota Senoi Praaq

SIK Choon Foo (tiga dari kiri) melawat Din Abdullah di Kampung Tendrik, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang bekas anggota Senoi Praaq Orang yang lumpuh bahagian kaki akibat serangan angin ahmar bersyukur apabila nasibnya mendapat perhatian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang hari ini.

Din Abdullah, 63, dari Kampung Tendrik, Pos Bihai, di sini berkata, dia juga terharu kerana Ketua Polis Daerah, Superintenden Sik Choon Foo bersama rombongan sanggup meredah jalan balak selama tiga jam untuk menziarahinya.

Menurut lelaki Orang Asli itu, selepas diserang angin ahmar kira-kira tiga tahun lalu, dia hilang upaya untuk berjalan dan keperluan hariannya terpaksa diuruskan isteri, Pusiah Long, 55, bersama anak-anak.

“Saya terkejut apabila Ketua Polis Daerah Gua Musang bersama rombongannya sanggup meredah jalan balak selama tiga jam semata-mata mahu melawat saya yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Saya rasa terharu kerana jasa dan sumbangan saya sebagai anggota Senoi Praaq selama 32 tahun masih dikenang walaupun sudah tidak lagi berkhidmat dalam pasukan itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terdahulu, Choon Foo diiringi Timbalannya, Deputi Superintenden Azmi Mokhtar meluangkan masa menyantuni Din di samping menyampaikan bantuan barangan makanan kepada keluarga lelaki itu.

Sementara itu, Choon Foo berkata, Din bertugas sebagai anggota Senoi Praaq selama 32 tahun sejak 1980-an di Pengkalan Hulu, Perak dengan pangkat terakhirnya sebagai Lans Koperal.

“Apabila mendapat maklumat Din sedang uzur, kita segera menyantuni beliau selain memberi sumbangan bagi meringankan beban keluarganya. Ini sebagai tanda kita amat menghargai jasa beliau yang pernah menjadi anggota Senoi Praaq,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN