HULU TERENGGANU: Seramai lapan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Lubuk Periuk di sini cemas apabila pusat berkenaan turut dinaiki air.
Kesemua mereka yang terdiri daripada tiga keluarga berpindah ke PPS tersebut kira-kira pukul 5 pagi ini, namun selepas hampir dua jam diselamatkan, pusat itu pula dilanda banjir.
Difahamkan, air naik sehingga 0.5 meter pagi tadi dan parasnya dijangka terus meningkat susulan hujan lebat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Periuk, Abdul Rashid Ali berkata, PPS itu sudah ditutup pukul 1 petang semalam, tetapi dibuka kembali pagi ini bagi menempatkan semula lapan mangsa bah.
“Hanya lapan mangsa dari Kampung Lubuk Periuk dan Peneh yang sempat berpindah masuk sebelum PPS itu juga dilanda banjir,” katanya ketika dihubungi hari ini. –UTUSAN ONLINE