SEREMBAN: Bermula dengan hanya masalah kulit sebesar duit syiling 20 sen di bahagian dahi, kini keadaan pemain dram bagi kumpulan muzik Sevendays, Muhammad Haffendi Madris, 32, semakin teruk.
Bahagian kulit di seluruh badan pemuda itu kini mengelupas dan lebih menyedihkan kedua-dua belah kakinya juga semakin membengkak sehingga menyukarkan pergerakannya dan kini dia hanya terlantar di katil.
Bapanya, Madris Manap, 62, berkata, anaknya itu menghidap penyakit kulit yang berulang bermula di dahi sejak dua tahun lalu.
“Sakit kulit yang dihadapinya sudah banyak kali berulang, bermula di dahinya sebesar duit syiling 20 sen. Selepas itu, lutut dan kaki mengelupas sehingga dia tidak boleh berdiri serta menyebabkan dia hanya terlantar di katil.
“Sebelum ini, Muhammad Haffendi aktif bersama kumpulan muziknya namun selepas sakit, dia tidak boleh bekerja kerana penyakit yang dihadapinya ini agak serius.
“Saya sudah menghantar dia untuk mendapatkan rawatan namun masih penyakit yang dihadapinya ini belum sembuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Pangsapuri Rakyat Seri Perdana, Paroi di sini semalam.
Menurutnya, dia juga telah merujuk penyakit yang dihadapi anaknya itu ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.
“Pihak hospital ada memberikan krim sapu namun tidak mampu mengubati penyakit anak saya ini. Saya ada juga cuba ikhtiar secara perubatan tradisional,” katanya.
Madris menambah, anak bongsunya itu ada memberitahu supaya tidak memaklumkan kepada sesiapa tentang penyakit yang dihadapinya kerana tidak mahu menyusahkan terutama kepada rakan ahli kumpulan muziknya.
“Dia tidak membenarkan saya memberitahu sesiapa, bagaimanapun, saya maklumkan juga supaya rakan-rakanya tahu mengenai tahap kesihatannya yang hanya terlantar di katil,” katanya.
Tambahnya, Muhammad Haffendi pernah berkahwin namun sudah bercerai sejak tiga tahun lalu dan mempunyai dua orang anak berusia enam hingga tujuh tahun.
Dalam pada itu katanya, mereka sekeluarga hanya bergantung kepada pendapatan isterinya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan.
“Muhammad Haffendi ada mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan untuk menampung kos perubatannya. Saya juga dimaklumkan pihak Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) juga mahu membantu memberikan katil dan kerusi roda kepada anak saya ini,” katanya.
Sementara itu, MAINS dalam kenyataan memaklumkan, telah menyampaikan wang tunai segera sebagai bantuan awal kepada Muhammad Haffendi selain bantuan-bantuan susulan yang akan disalurkan kemudian. -UTUSAN ONLINE