MELAKA: Sukar mencari kerja di zaman pandemik Covid-19, namun bagi lima anak muda yang tidak patah semangat, busking di jalanan dijadikan sumber rezeki.
Hampir setiap malam di Jalan Hang Tuah di sini, kumpulan itu membuat persembahan di beberapa restoran yang sudi membayar perkhidmatan mereka menghiburkan pelanggan yang sedang menjamu selera.
Menggelarkan diri sebagai Weekend Music dan berusia antara 18 tahun hingga 28 tahun, anak muda itu langsung tidak segan dan malu menjadikan busking sebagai mata pencarian.
Mereka terdiri daripada Shahreza Ahmad (gitar kedua), Muhammad Ariff Hazim Suhaimi (gitar utama), Muhammad Fakhruddin Amin Mohd. Fares (gitar bes), Ahmad Omar Zaid (drum) dan Aimi Batrisya Suhami (penyanyi).
Ketuanya, Muhammad Fakhruddin Amin berkata, idea membentuk kumpulan timbul berikutan permintaan tinggi dalam kalangan pemilik restoran di bandar ini bagi menghiburkan pelanggan.
“Saya belum dapat pekerjaan tetap walaupun dah memohon di beberapa tempat. Sementara menunggu, saya busking dengan rakan-rakan. Dua lagi rakan bekerja sebagai penghantar makanan dan jadikan busking sumber pendapatan tambahan.
“Alhamdulillah, hampir setiap malam kumpulan saya menerima tawaran tetap bermain sama ada di Nasi Lemak Royale, Restoran Ellizat dan Cafe Sangkeriau,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Muhamad Fakhruddin Amin menambah, pendapatan yang diperoleh setiap malam cukup untuk membayar sewa rumah, kereta dan perbelanjaan harian.
Selain itu, katanya, kumpulannya menerima tempahan bermain muzik bagi sebarang majlis keraian seperti perkahwinan, perasmian atau apa sahaja. –UTUSAN