Dilema peniaga martabak bazar Ramadan

Dilema peniaga martabak bazar Ramadan

ABDUL RAZAK IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Para peniaga martabak di bazar Ramadan tahun ini mengakui terkesan dengan kenaikan harga barangan mentah namun masih mengambil keputusan untuk terus mengekalkan harga makanan berkenaan.

Meskipun pendapatan dijangka merosot teruk dengan situasi tersebut, perniaga martabak terpaksa menerima hakikat memandangkan harga barangan mentah seperti telur, tepung dan pelbagai lagi menunjukkan peningkatan menjelang dua bulan lagi umat Islam bakal menyambut Ramadan.

Menurut mereka, harga barangan seperti telur gred A ketika menjalankan perniagaan di bazar Ramadan tahun lalu sekitar RM10 namun sekarang sudah mencecah RM14.

Pada masa sama, mereka berharap bekalan telur tidak terputus seperti sebelum ini memandangkan bahan mentah itu antara komponen penting menyediakan martabak.

Seorang peniaga, Zaini Ensof,41, berkata, dia masih mengekalkan harga martabak iaitu RM4 sekeping apabila berniaga di bazar nanti.

Katanya, pada masa ini, dia melihat trend kenaikan harga barangan mentah tidak ada tanda-tanda menurun dan dijangka menjelang Ramadan semakin tinggi.

“Namun, kami tidak boleh buat apa. Kalau naikkan harga, pelanggan pula berkurangan. Jika tidak naik, pendapatan kami pula mengalami kemerosotan teruk. Harga sekarang semua naik, berniaga pun sekadar lepas modal dan untung sikit-sikit sahaja.

“Sudahlah sebelum ini bazar Ramadan tidak beroperasi ekoran Covid-19, apabila kembali hendak berniaga di bazar tahun ini, harga barangan mentah pula meningkat.

“Saya berharap sangat kerajaan dapat mengawal harga barangan khususnya menjelang Ramadan tidak lagi selain dapat memastikan bekalan seperti telur, bawang, telur dan sebagainya sentiasa ada,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Nor Irwan Kamis, 40, pula berkata, dia belum membuat keputusan sama ada berniaga di bazar Ramadan tahun ini atau sebaliknya.

Katanya, jika berniaga, dia masih memilih mengekalkan harga martabak RM4 sekeping seperti sebelum-sebelum ini.

“Sekarang harga barangan mentah selalu naik sekali gus membebankan golongan peniaga. Seperti telur, sekarang harga cukup tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Harga bahan mentah lain seperti tepung, marjerin, ayam dan sebagainya semuanya mengalami kenaikan. Bulan Ramadan selalunya barang naik lagi, harap tahun ini kerajaan dapat mengawalnya,” katanya. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN