Pengurusan banjir ditambah baik - PM - Utusan Malaysia

Pengurusan banjir ditambah baik – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) akan dilaksanakan sejurus selepas tamat Monsun Timur Laut (MTL) bagi membincangkan pelan jangka pendek dan jangka panjang pengurusan banjir negara. 

Perdana Menteri berkata, bagi meningkatkan tahap perlindungan infrastruktur saliran dan pantai,  Kementerian Alam Sekitar dan Air mencadangkan peningkatan  tahap perlindungan atau kala ulangan reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai daripada 100 tahun Average Recurrence Interval (ARI) kepada  200 tahun ARI.

Beliau berkata, cadangan penambahbaikan kepada Jabatan Meteorologi Malaysia pula meliputi Sistem Amaran Siren Banjir Berpusat dikoordinasi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Contoh di Sri Muda, siren amaran telah dibunyikan sebagai amaran kepada penduduk. Kerajaan juga akan menambahkan lagi jumlah siren yang dilengkapi amaran suara di lokasi-lokasi berisiko untuk mengarahkan penduduk berpindah. 

“Kamera Litar Tertutup (CCTV) di stesen pemantauan aras air agar penduduk bersedia untuk berpindah sekiranya air berada pada paras bahaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca  Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022 dan menerima taklimat status  tindakan daripada enam kluster yang ditubuhkan bagi mengurus inisiatif  Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut 2021/2022. 

Ismail Sabri berkata, Ramalan Cuaca Berangka (NWP) iaitu komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) dibuat menerusi aktiviti-aktiviti latih amal banjir dan maklumat yang dihebah oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM). 

“Menurut Kementerian Kerja Raya (JKR) terdapat 895 lokasi bencana dikesan sepanjang MTL 2021/2022 melibatkan lokasi banjir, banjir kilat, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan runtuh atau rosak. Inisiatif pemulihan melibatkan kos sebanyak RM967.2 juta. 

“Sebanyak 802 lokasi selesai aktiviti pembersihan iaitu di Kedah tiga daripada lapan lokasi, Perak 17 lokasi telah dibersihkan sepenuhnya, Selangor (134 daripada 162) , Negeri Sembilan (45 daripada 62),  Melaka (17 daripada 22), Johor (kesemua enam), Pahang (533 daripada 566), Terengganu (13 daripada 14),  Kelantan (34 daripada 38). 

Pembaikan kekal dilaksanakan bermula bulan ini dan dijangka selesai pada Jun depan. 

Menurut Perdana Menteri, Kluster komunikasi strategik yang diterajui KKMM aktif melaksanakan hebahan maklumat sejak bermulanya MTL 2021/2022 dan usaha dipergiatkan sejak jangkaan berlaku gelombang kedua bagi memastikan penduduk khususnya dan negara amnya bersedia agar keadaan lebih terkawal. 

Kata beliau, strategi komunikasi melibatkan promosi hebahan amaran dan situasi semasa, hebahan bantuan-bantuan kerajaan, mengenal pasti isu berbangkit dan ditangani bersama pelbagai agensi serta usaha-usaha mengesan berita palsu dan segera menyiarkan penafian menerusi platform media massa, media sosial, saluran Jabatan Penerangan, turun padang, advokasi, penerbitan dan usaha-usaha libat urus. 

Beliau berkata, penyelarasan usaha mobilisasi anggota perkhidmatan awam membantu kerja- kerja pembersihan dan kemanusiaan melibatkan tenaga kerja hampir separuh daripada penjawat awam Persekutuan dan negeri di seluruh Malaysia. 

“Bagi mereka yang menerima bantuan kerajaan menerusi pembayaran Electronic Fund Transfer (EFT) dinasihatkan agar berhati-hati dengan pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil keuntungan mudah dengan menjalankan aktiviti scamming. 

“Pelaksanaan semua inisiatif Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut  2021/2022 akan sentiasa dipantau Task Force bagi memastikan mekanisme kesiapsiagaan dan pengurusan bencana negara sentiasa diperkemas dan berada pada tahap optimum,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya