Penggal kepala ibu: Suspek dijangka didakwa Isnin ini - Utusan Malaysia

Penggal kepala ibu: Suspek dijangka didakwa Isnin ini

LOKASI kejadian wanita maut dipenggal anak lelakinya sendiri di rumahnya di Kampung Baru Pasir Penambang di Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Suspek yang memenggal kepala ibunya sendiri di Kampung Baru Pasir Penambang di sini, minggu lalu dijangka didakwa Isnin ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya sudah mendapat kebenaran lanjutan reman ke atas lelaki berusia 26 tahun itu hari ini.

Katanya, Mahkamah Kuala Selangor di sini membenarkan reman selama empat hari lagi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Reman ke atas suspek selama seminggu berakhir hari ini, namun, dibenarkan untuk disambung pagi tadi.

“Insya Allah, kita menjangkakan lelaki berkenaan didakwa di mahkamah sama Isnin ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Ramli, pihaknya sudah melengkapkan siasatan kes itu dan merujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan pendakwaan.

Ahad minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan tragedi memilukan apabila kepala mangsa berusia 56 tahun itu ditemukan dalam rumah berkenaan selepas dipenggal anak lelakinya dengan parang.

Kejadian kira-kira pukul 5 petang Sabtu itu disedari salah seorang anak mangsa yang gagal menghubunginya dan segera pergi ke rumah berkenaan sebelum melihat keadaan lokasi yang berlumuran darah.

Suspek yang melarikan diri berjaya diberkas polis dengan bantuan penduduk kampung di kawasan belukar belakang rumah mangsa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memaklumkan tindakan kejam penganggur itu berpunca tidak mendapat wang bagi membeli dadah.

Suami mangsa berusia 61 tahun bagaimanapun memaafkan perbuatan suspek yang juga darah dagingnya sendiri selain keluarga masih terkejut dengan tragedi itu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang di sini, kira-kira pukul 5.20 petang Isnin lalu. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya