PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak Sekolah Kebangsaan Assumption, Pulau Pinang sehingga sesi persekolahan Penggal 3, 2021/2022 tamat pada Mac depan.
KPM menerusi kenyataan hari ini berkata, kementerian juga akan membantu memudah cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi Kalendar Akademik Sesi 2022/2023.
Menurutnya, kementerian juga membuat ketetapan untuk menyuraikan murid dan guru ke sekolah lain yang berhampiran.
“Ketetapan ini diambil selepas mendapati trend enrolmen murid yang menurun dari setahun ke setahun yang mana pada masa ini, sekolah tersebut beroperasi dengan enrolmen murid seramai 53 orang.
“Terdapat sekolah berdekatan yang dapat menampung murid dari SK Assumption dalam jarak antara 0.35 kilometer (km) hingga 5.8 km.
“Sekolah berkenaan termasuk SK Kuala Perai (Butterworth), SK Sungai Nyior, SK St Mark (Butterworth), SK Khir Johari dan SK St Mark (Perai),” katanya.
Katanya, penyuraian ini dapat meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui agihan semula 15 orang guru dan dua orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah lain.
Sekolah Kebangsaan Assumption adalah sekolah bantuan kerajaan yang beroperasi di bangunan dan tapak sekolah yang dimiliki oleh Syarikat Sri Avenue Sdn. Bhd. sejak tahun 2008.
Pada 3 November tahun lalu, Syarikat Sri Avenue Sdn. Bhd. memaklumkan bahawa syarikat menerima tawaran pembelian bangunan dan tapak sekolah daripada pihak ketiga.
Sehubungan itu, pihak syarikat memohon supaya KPM mengosongkan bangunan dan tapak sekolah tersebut dengan secepat mungkin. -UTUSAN ONLINE