Hilang sumber pendapatan selepas suami diserang strok  - Utusan Malaysia

Hilang sumber pendapatan selepas suami diserang strok 

ZAMZURI Mansor (tiga dari kiri) ketika melawat dan menyerahkan sumbangan daripada Econsave kepada keluarga Umi Kalsom Kassim di rumahnya di Kampung Permatang Rambai, Penaga, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Bagaikan jatuh ditimpa tangga. 

Itulah nasib yang menimpa Umi Kalsom Kassim, 37, selepas suaminya, Ismail Hasan, 42, disahkan mengalami serangan strok dan masalah pendarahan di dalam otak sejak lebih dua bulan lalu. 

Umi Kalsom sebelum itu turut menderita akibat masalah ‘slipped disc’ atau cakera tergelincir sehingga menyukarkannya melakukan kerja-kerja berat. 

Menurut ibu kepada tiga anak itu, keadaan suaminya yang uzur dan tidak mampu lagi bekerja ketika ini menyebabkan mereka kehilangan satu-satunya sumber pendapatan untuk keluarga. 

Ketika ini juga katanya, Ismail hanya terlantar di atas katil dan tidak boleh bangun atau duduk untuk tempoh yang lama kerana akan berasa lenguh dan pening. 

“Walaupun suami saya hanya bekerja kampung dengan mengambil upah mengerjakan bendang, meracun, mengangkat baja dan sebagainya sebelum ini, pendapatan yang diterimanya itu mampu untuk kami membayar sewa rumah, membeli barangan keperluan dan sebagainya. 

“Mujurlah ada dalam kalangan jiran yang prihatin dengan nasib kami dan banyak membantu menyumbangkan barangan keperluan harian selama tempoh dua bulan itu,” katanya ketika ditemui semasa menerima kunjungan pengurusan pasar raya Econsave di rumahnya di Kampung Permatang Rambai, Penaga, di sini semalam. 

Jelas Umi Kalsom, selain masalah kewangan yang membelenggu mereka sekeluarga, dia juga runsing memikirkan tempat tinggal baharu kerana rumah sewa yang mereka diami ketika ini perlu dikosongkan selewat-lewatnya hujung bulan ini. 

“Memang kami ada jumpa rumah sewa baharu, cuma sewa agak mahal iaitu RM500 sebulan berbanding sekarang hanya RM400.                                                                                                          

“Namun, itu sahaja pilihan yang ada buat masa ini,” katanya yang memberitahu ada memohon beberapa bantuan daripada pihak lain, namun, hampir semuanya masih dalam proses untuk diluluskan. 

Dalam pada itu, Pengurus Besar Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, pihaknya terpanggil menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan selepas kisah mereka tular dalam sebuah portal berita baru-baru ini. 

Katanya, dana sebanyak RM1,000 telah diperuntukkan di bawah program Econsave Prihatin untuk menyampaikan beberapa barang keperluan harian seperti makanan, barangan dapur, susu, lampin pakai buang dan sebagainya untuk kegunaan keluarga itu. 

“Kita berharap bekalan makanan serta barang keperluan ini dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga Umi Kalsom yang hilang sepenuhnya sumber pendapatan mereka ketika ini,” ujar beliau.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya