ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menganggap dakwaan kerajaan negeri Pulau Pinang dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) tidak mempunyai obligasi untuk membayar caj air mentah dari Kedah seperti ditimbulkan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Jaseni Maidinsa baru-baru ini adalah tidak tepat.
Menurut beliau, kerajaan negeri Pulau Pinang sepatutnya membuat pembayaran kepada kerajaan Kedah apabila Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) mula dikuatkuasakan pada 2006.
“Dulu, memang tak ada sesiapa perlu bayar kepada sesiapa kerana tiada WSIA. Tetapi, apabila WSIA dikuatkuasakan pada 2006, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bertindak sebagai pengawal atur (regulator) manakala kerajaan negeri berkuasa penuh ke atas sumber air.
“Maka, mana-mana pihak yang dapat faedah daripada kawasan tadahan, lembagan sungai mahu pun air mentah kita mesti bayar. Tak timbul soal obligasi kerana itu cerita lama dari zaman ‘Tok Nadok’ yang telah lupus dengan pelaksanaan WSIA pada 2006,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan upacara menandatangani memorandum perjanjian (MoA) pelaburan antara Invest Kedah Bhd. dengan KT Express Logistics Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Jaseni sebelum ini mendakwa kerajaan Pulau Pinang dan PBAPP tidak mempunyai obligasi untuk membayar kepada kerajaan Kedah bagi kerja-kerja mengabstrak air mentah dari Sungai Muda dan kawasan tadahan Ulu Sungai Muda yang terletak di Kedah.
Menurut Jaseni, Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) tidak menyebut mengenai sebarang bayaran untuk pengambilan air mentah.
Sementara itu, Muhammad Sanusi menegaskan, Pulau Pinang dan Kedah tidak mempunyai sebarang perjanjian sah yang membuktikan tiada pembayaran perlu dibuat bagi pengambilan air mentah dari Sungai Muda dan kawasan tadahan Ulu Muda.
“Kalau perjanjian itu wujud, maka mereka perlu tunjukkan buktinya. Beban pembuktian ada pada mereka dan bukan pada kami di Kedah.
“Soal obligasi ini, itu cerita lama yang tidak perlu dibangkitkan selepas WSIA dilaksanakan pada 2006. Sekarang ini Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Kedah pun turut membayar kepada Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) bagi membekalkan air kepada pengguna tetapi Pulau Pinang tidak berbuat demikian,” katanya. -UTUSAN ONLINE