WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan akan mengenakan tarif tambahan 100 peratus ke atas import dari China mulai bulan depan.
Dalam hantaran di media sosial, Trump berkata, AS juga akan menetapkan kawalan eksport ke atas perisian kritikal.
Menerusi kenyataan awal pada Jumaat, beliau membalas tindakan Beijing minggu ini yang mengetatkan peraturan eksport nadir bumi, dengan menuduh China ‘menjadi sangat bermusuhan’ dan cuba menahan dunia ‘sebagai tebusan’.
Trump turut mengancam untuk menarik diri daripada mesyuarat dengan Presiden China, Xi Jinping.
Bagaimanapun, beliau kemudian mendakwa belum memutuskan untuk membatalkannya, tetapi tidak pasti sama ada akan mengadakan mesyuarat itu.
Pasaran kewangan jatuh susulan kenyataan Trump, dengan S&P 500 ditutup merosot 2.7 peratus, penurunan paling ketara sejak April.
China mendominasi pengeluaran nadir bumi dan bahan utama tertentu lain, yang merupakan komponen penting dalam kereta, telefon pintar dan banyak barangan.
Kali terakhir Beijing mengetatkan kawalan eksport, selepas Trump menaikkan tarif ke atas barangan China awal tahun ini, berlaku protes daripada banyak syarikat AS yang bergantung kepada bahan tersebut.
Selain mengetatkan peraturan eksport nadir bumi, China juga membuka siasatan monopoli ke atas syarikat teknologi AS, Qualcomm, yang berpotensi menghentikan pemerolehannya terhadap pembuat cip lain.- BBC











