Banjir: PKR Selangor nafi wakil rakyat pembangkang hilang - Utusan Malaysia

Banjir: PKR Selangor nafi wakil rakyat pembangkang hilang

HALIMEY ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: PKR Selangor menganggap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa beberapa wakil rakyat pembangkang ‘hilang’ ketika bencana banjir melanda beberapa negeri pada 17 Disember lalu ibarat ‘meludah ke langit’.

Ketua Penerangannya, Halimey Abu Bakar berkata, perbuatan Ismail yang sibuk memotong kek dianggap sebagai jijik pada waktu rakyat bersabung nyawa dan merayu minta diselamatkan apabila air naik begitu pantas.

Katanya, ia belum ditambah dengan perangai jelik barisan menteri dan ahli Parlimen kerajaan yang sibuk menghadiri majlis Makan Malam Perhimpunan UMNO ketika banjir berlaku.

“Apakah penipuan yang cuba dilakukan Ismail Sabri dengan memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam ketika musibah melanda untuk membantu mangsa banjir dan ahli Parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN) pembangkang tidak kelihatan? 

“Adakah semata-mata hadir berbaju Melayu dan berada di bilik selesa berpenghawa dingin untuk mendengar taklimat boleh dianggap membantu?” Katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Halimey, keadaan itu dilihat jauh berbeza dengan ahli Parlimen pembangkang seperti ketuanya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turun seawal pagi pada 18 Disember lalu berbanding kelibat Ismail hanya dilihat pada 19 Disember setelah mengumumkan kehadirannya kepada media sehari sebelum melakukan lawatan di sekitar kawasan Klang berdasarkan sebaran melalui aplikasi WhatsApp.

“Menteri Besar Selangor, (Datuk Seri) Amirudin Shari misalnya turun sejak awal meredah banjir bagi menyelamatkan penduduk yang terperangkap. Walaupun dengan kelengkapan yang terhad akibat bantuan yang dijanjikan dari kerajaan Pusat tidak kunjung tiba, namun, beliau menunjukkan tauladan yang baik selaku seorang pemimpin utama negeri. 

“Berbeza pula dengan menteri dan ahli parlimen kerajaan yang boleh keluar negara walaupun setelah banjir melanda dan hanya turun sekadar melakukan gimik bodoh mencuci najis cicak dan burung seperti dilakukan (Datuk Seri) Rina Harun,” selarnya.

Dakwanya lagi, kritikan Ismail terhadap Kerajaan Negeri Selangor dalam mengurus bencana banjir juga menunjukkan beliau seorang Perdana Menteri yang tidak layak memimpin negara.

“Mengapa aset kerajaan Pusat yang bernilai berbilion ringgit tidak digerakkan sejak dari awal banjir melanda melanda Selangor? Adakah beliau lupa bahawa Tan Sri Noh Omar merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Selangor sejak November 2021? 

“Ini mungkin boleh menjawab persoalan kenapa koordinasi bantuan antara Persekutuan dan Negeri terlalu teruk sehingga ada rakyat yang mati menunggu bantuan yang tak kunjung tiba. Mungkin masih sibuk dengan Persidangan UMNO?” Sindirnya. 

Sehubungan itu, katanya, Keadilan Selangor ingin mengingatkan kepada Perdana Menteri, Ahli Parlimen dan ADUN yang berpihak kepada Kerajaan Persekutuan bahawa nyawa rakyat yang terkorban akibat banjir tidak mungkin mampu dikembalikan semula, namun, kegagalan kerajaan gabungan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional mengurus bencana akan dikenang selama-lamanya oleh rakyat Malaysia.

“Kenyataan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah cukup mendedahkan betapa lemahnya kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail berikutan kenyataan daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad Latiff di Dewan Rakyat minggu lepas bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak terlibat secara langsung dalam urusan kejadian bencana alam seperti banjir di peringkat negeri. 

“Disebabkan tindakan NADMA yang lambat dan hambar daripada ketika menangani bencana banjir besar di Lembah Klang Jumaat lepas, pihak ATM terpaksa ‘melupakan’ agensi bencana itu dan berusaha sendiri untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir yang terkandas. NADMA yang dipertanggungjawab untuk mengkoordinasi usaha ketika negara dilanda bencana seperti banjir telah gagal bertindak pantas,” dakwanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN