PUTRAJAYA: Salah seorang penerima bantuan sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengenang keadaan anaknya yang sebelum ini hanya mampu memakai uniform terpakai.
Justeru, Asma Abdullah, 48, berkata, bantuan keperluan persekolahan yang diterima daripada agensi itu adalah cukup bermakna bagi golongan miskin walaupun mungkin tidak seberapa.\
“Alhamdulillah, syukur rasa bertuah dipilih jadi penerima kerana sebelum ini saya memang tidak mampu membeli pakaian seragam sekolah dan hanya bergantung ihsan dari jiran,” katanya.
Suri rumah itu antara kumpulan 100 penerima pertama daripada sejumlah 31,954 orang ketua keluarga dari seluruh Selangor yang mendapat bantuan persiapan persekolahan sesi 2022.
Ia melibatkan 66,160 murid asnaf fakir, miskin dan mualaf dari peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah dengan peruntukan keseluruhannya berjumlah hampir RM32.6 juta.
Acara penyerahan secara simbolik anjuran LZS tersebut disempurnakan oleh Mufti Selangor, Datuk Dr. Anhar Opir di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Divisyen Operasi Agihan LZS, Mohd. Sabirin Sarbini dan juga disaksikan Ketua Pentadbiran Pusat Islam UKM, Muhammad Tajuddin Abdul Rahim.
Menurut Asma yang merupakan ibu tunggal menetap di Bangi, LZS banyak membantu dirinya terutama bagi melunaskan bayaran sewa rumah selain pelbagai bantuan bulanan yang lain.
“Begitu juga yuran persekolahan dan keperluan pendidikan kerana sebelum ini saya agak sedih tidak mampu beli uniform untuk anak dengan semuanya hasil derma dari jiran,” katanya.
Anaknya yang belajar di tahun lima di Sekolah Kebangsaan Jalan Tiga Bandar Baru Bangi, Muhammad Ammar Izzudden Mohd. Naresszahisham turut ceria dan meluahkan kesyukuran.
Tidak ketinggalan, Muhammad Azmawi Sani, 49, yang bekerja sendiri dan datang ditemani anaknya, Muhammad Iman Muhammad Asmawi juga gembira atas keprihatinan pihak LZS.
Sambil mengharapkan hanya Allah dapat membalas jasa baik pembayar zakat di negeri itu, beliau berjanji akan memanfaatkan amanah sumbangan diterima dengan sebaik mungkin.
“Insya-Allah, anak saya yang belajar tingkatan dua Sekolah Tinggi Kajang juga terharu kerana sebelum ini sedih kurang lengkap persekolahan, tetapi LZS tampil bantu kami,” katanya.
Pada program tahunan itu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga membuat penyerahan simbolik sumbangan dana wakalah berjumlah RM300,000 kepada pihak LZS.
Ia disampaikan Ketua Pegawai Korporatnya, Idris Ishak untuk Program Kasihku LZS bagi disalurkan kepada persekolahan anak-anak dari golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf.
Tidak ketinggalan, sumbangan 100 unit naskhah al-Quran kepada penerima yang hadir daripada Ade Azhar Trading Sdn. Bhd. oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ade Azhar Ismail. -UTUSAN ONLINE