KUANTAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sinonim dengan cogan kata ‘boleh digerakkan dalam apa jua keadaan’ turun padang membantu masyarakat setempat di Sungai Lembing yang terjejas teruk akibat bencana banjir tempoh hari.
Program itu diketuai Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintenden Azhari Nusi bersama 40 pegawai kanan dan rendah Batalion 7 PGA, Kem Bukit Galing di sini.
Ia turut dibantu 150 anggota Skuad Sabil dari Johor dan 20 penduduk setempat.
Azhari berkata, bantuan lima buah lori dan sebuah jentolak digunakan untuk memindahkan barang-barang yang rosak ke tempat pelupusan sampah.
Beliau berkata, rata-rata perabot dan juga perkakas rumah serta barangan elektrik rosak akibat ditenggelami banjir.
“Selain itu, kerja-kerja pembersihan jalan serta longkang dan memotong pokok tumbang yang menghalang laluan orang ramai juga dilakukan.
“Walaupun cuaca pada hari ini hujan lebat, namun, semangat petugas-petugas tidak luntur untuk membantu masyarakat yang mengalami kesusahan.
“Program ini selaras dengan slogan ‘polis dan masyarakat berpisah tiada’ walau apa pun jua masalah menimpa,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Sungai Lembing, Muhammad Ridzal Sukimi selaku wakil penduduk setempat mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada warga Batalion 7 PGA kerana sudi membantu penduduk yang terjejas banjir di situ.
“Usaha murni itu dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim antara warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat setempat,” katanya. -UTUSAN ONLINE










