KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,711 barangan eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) tidak dikenakan tarif timbal balik 19 peratus menerusi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang dimeterai antara kedua-dua negara.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, menerusi perjanjian itu, kedua-dua negara mendapat manfaat antaranya akses pasaran lebih baik dan terjamin.
Katanya, antara barangan eksport tersebut adalah seperti minyak sawit, barangan berasaskan getah, produk koko, komponen dan alat gentian pesawat serta farmaseutikal.
“Perjanjian dan mesyuarat berlaku semalam, memang sangat bersejarah. Perjanjian yang dimeteri sebenarnya telah dipersetujui secara rasmi sebelum ini dan telah diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri (Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz) di Parlimen.
“Apa yang lebihnya daripada dipersetujui sebelum ini adalah AS menawarkan akses yang lebih baik dan lebih terjamin kepada pasaran mereka untuk negara kita.
“Jadi boleh saya katakan, apa yang dimeterai adalah lebih baik daripada apa yang diumumkan sebelum ini, termasuk 1,711 talian tarif daripada pengenalan tarif 19 peratus. Maknanya ada 1,711 talian tarif (barangan) tidak akan dikenakan tarif ini,” katanya ketika menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai kelebihan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara AS-Malaysia di Dewan Rakyat hari ini.
Chin Tong berkata, akses lebih luas dan terjamin tidak termasuk eksport utama Malaysia membabitkan produk semikonduktor.
Beliau berkata, hal itu akan dipertimbangkan oleh AS dan dewan perniagaan mengikut Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 (19 U.S.C 1862) membabitkan produk semikonduktor.
“Bermakna produk semikonduktor tidak dirangkum dalam perjanjian ini. Namun, apabila semikonduktor dipertimbangkan oleh pihak AS, dewan perniagaan dan apa yang dipersetujui semalam akan ada kaitan dan dipertimbangkan secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN










