JAKARTA: Biro Belia Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) bakal menghantar wakil ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membawa suara dan aspirasi belia Melayu Islam ke peringkat antarabangsa.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali berkata, langkah itu turut mendapat sokongan Yayasan Belia Dunia (WYF) dan hasil perbincangan dengan Badan Komunikasi Pemuda Remaja Masjid Indonesia (BKPRMI), Cambodian Muslim Youth Alliance (CMYA) serta Jamiyah Singapore Youth Group (JSYG) pada Konvensyen DMDI ke-23 yang berakhir Sabtu lalu.
Menurutnya, keputusan tersebut merupakan antara empat resolusi utama yang dicapai hasil pertemuan dengan kepimpinan pertubuhan belia dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Kemboja.
“Persetujuan ini satu langkah bersejarah memperkukuh kesatuan serta kepimpinan belia Melayu Islam di peringkat antarabangsa,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini, semalam.
Tiga lagi resolusi yang dipersetujui ialah penganjuran Forum Belia Antarabangsa setiap tahun, penubuhan Jawatankuasa Khas Belia DMDI di setiap negara anggota, serta kutipan dana bersama bagi tujuan kemanusiaan, pendidikan dan pemulihan bencana dalam kalangan 23 anggota DMDI.
Katanya, pelaksanaan resolusi itu bakal menjadi jambatan kerjasama serantau bagi mengukuhkan perpaduan belia Melayu Islam agar mampu bersuara bersama di pentas global.
“Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4B) akan terus menerajui agenda perpaduan dan kebangkitan belia Melayu Islam seiring aspirasi yang diputuskan pada Konvensyen DMDI,” katanya. – UTUSAN










