PASIR MAS: Sejak sebulan lalu, kehidupan sebuah keluarga di Kampung Hutan Pasir di sini, tidak lagi tenteram apabila dihantui masalah air banjir yang bertakung dan tidak surut-surut meskipun cuaca panas terik.
Ketika tinjauan hari ini, halaman rumah Halimah Bee Vi Kamaluddin, 39, tak ubah seperti kolam, ekoran sistem pembetung atau culvert di situ telah ditutup dengan konkrit menyebabkan air tidak dapat mengalir keluar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Halimah Bee Vi berkata, dia tinggal dan membesar di rumah tersebut sejak kecil, namun, kejadian seumpama itu tidak pernah dialami kerana air banjir biasanya akan surut selepas dua hari.
Katanya, apabila musim tengkujuh melanda awal November lalu, ‘mimpi ngeri’ keluarganya itu pun bermula selepas pembetung utama di situ secara tiba-tiba ditutup dengan konkrit oleh pihak tertentu tanpa sebab.
“Kawasan rumah saya asalnya sawah padi dan merupakan laluan utama aliran air hujan untuk keluar dari kawasan ini. Apabila pembetung ditutup, sudah beberapa kali air bertakung hampir masuk ke dalam rumah sepanjang bulan lepas.
“Dulu bila cuaca baik, air akan surut segera, sekarang air tak surut-surut hingga menimbulkan bau busuk seperti kumbahan selain ancaman binatang berbisa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kata Halimah Bee Vi, aduan sudah dibuat kepada pihak berkuasa namun masih menemukan jalan buntu.
“Kami sekeluarga merayu mereka sudi mempertimbangkan supaya membuka semula saliran air yang ditutup tersebut.
“Selain rumah saya, turut berdepan masalah sama ialah ibu saudara saya Rosnani Ahmad, 60, yang tinggal di belakang rumah. Dia terpaksa meredah air bertakung yang kotor dan busuk setiap kali keluar rumah untuk urusan harian,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE