Kod QR judi pada beg plastik - Utusan Malaysia

Kod QR judi pada beg plastik

AZLAN Abu menunjukkan kod QR yang dicetak pada beg plastik ketika ditemui pemberita di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Selepas menggunakan kaedah ‘kaunter seluk tangan’ di kedai-kedai runcit tertentu untuk membeli ‘top up’ atau kod tambah nilai judi dalam talian, kini, sindiket mengubah taktik halus menggunakan kod QR yang dicetak pada beg plastik. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Azlan Abu mendedahkan, modus operandi terbaharu itu cuba digunakan secara meluas di negeri ini oleh ahli sindiket. 

Beliau berkata, taktik moden itu dikesan dibawa dari negeri jiran sejak Mac lalu, sebelum berjaya dihidu pasukan JSJ Ibu Pejabat Polis (IPK) Kontinjen Melaka. 

“Pada Mac lalu, pasukan kita berjaya mengesan satu modus operandi baharu sindiket judi dalam talian yang mencetak kod QR pada beg plastik dan mengedarkannya di kedai-kedai runcit sekitar negeri ini. 

“Kaki judi akan mengimbas kod tersebut untuk mengakses terus ke laman web judi syarikat terbabit,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di IPK Melaka, Bukit Beruang di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya juga percaya pemilik kedai runcit turut terlibat dalam jenayah tersebut, namun, mereka menggunakan alasan beg plastik itu diberikan secara percuma oleh individu tidak dikenali.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas mengimbas kod QR tersebut, pelanggan akan diminta untuk mendaftar sebagai pemain menerusi nombor kod kebenaran transaksi (TAC) yang dihantar. 

“Pelanggan akan membuat pendaftaran melalui TAC dan kredit percuma antara RM5 sehingga RM20 sebagai penghargaan. 

“Modus operandi ini bagaimanapun berjaya kita patahkan di awal kegiatannya dan kini kita kesan aktiviti judi dalam talian ini beralih semula kepada taktik lama iaitu menerusi aplikasi Telegram,” katanya. 

Jelasnya, laporan berhubung kegiatan tersebut telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk tindakan lanjut. 

Katanya, taktik itu sukar untuk ditumpaskan memandangkan operator sering menukar nama kumpulan atau pautan laman web. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN