Keunikan dan keistimewaan batik Perlis - Utusan Malaysia

Keunikan dan keistimewaan batik Perlis

ZARINA Salleh menunjukkan batik yang dilukis menggunakan berus dengan motif abstrak di bengkelnya di Kampung Ngulang, Datuk Kayaman, Kangar, Perlis, hari ini. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Bagi menampilkan perbezaan penghasilan batik dengan negeri-negeri lain khususnya Terengganu dan Kelantan, Batik Inderawasih di sini mengetengahkan batik berbentuk lukisan, abstrak dan seni moden.

Keunikan serta keistimewaan seni kraftangan tersebut sekali gus menarik perhatian ramai mendapatkan keluaran batik negeri ini.

Pemiliknya, Zarina Salleh, 52, berkata, keunikan batik berbentuk lukisan itu adalah setiap satu batik yang dihasilkan itu adalah berbeza dan tidak akan sama dengan corak batik lain seperti batik terap atau cop yang menggunakan blok pengecop daripada segi penghasilannya.

Katanya, batik jenis lukisan itu juga menggunakan berus dalam penghasilan corak pada kain yang menampilkan rekaan lebih moden.

Ujarnya, seni batik berkenaan sekali gus turut menarik minat golongan muda.

“Kebiasaannya corak pada batik adalah bermotifkan flora dan fauna yang kelihatan lebih lembut. Walaupun kami turut menghasilkan batik-batik dengan motif begitu mengikut permintaaan pelanggan, namun kami juga menampilkan identiti tersendiri.

“Buat masa ini, Batik Inderawasih ingin mengetengahkan identiti seni moden.

“Tambahan pula, anak-anak saya yang turut melanjutkan pelajaran dalam bidang seni halus dan mereka turut membawa elemen seni dalam batik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di bengkelnya di Kampung Ngulang, Datuk Kayaman, di sini hari ini.

Sementara itu, Zarina yang mengusahakan bengkel batik tersebut sejak 1993 berkata, selain menyediakan batik untuk kain pasang, blaus dan hiasan dinding, pihaknya juga menyediakan kit batik iaitu set yang membolehkan orang ramai mencuba melukis batik di rumah masing-masing.

Menurutnya, kit tersebut yang dijual pada harga RM40 di platform Shoppe itu mendapat sambutan yang sangat baik terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Pelan kami pada masa depan adalah untuk menyediakan kit batik yang mempunyai motif yang menunjukkan identiti Perlis seperti motif Bukit Chabang atau makanan-makanan yang ada di negeri ini.

“Selepas ini, sesiapa yang datang ke negeri ini boleh membawa pulang cenderamata batik yang mempunyai motif yang berasal dari negeri ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya