KANGAR : Perlis mempunyai kelebihan sebagai antara lokasi ekopelancongan yang menjadi antara tarikan utama pelancong ke negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, antara kelebihan lain, kawasan ekopelancongan tersebut juga memberi perlindungan habitat semula jadi dan taman lestari.
“Selain itu, ia juga menggalakkan negeri dan masyarakat membina ekonomi tanpa memusnahkan alam sekitar selain memastikan biodiversiti tempatan boleh berkembang maju serta pengunjung dapat menikmati kawasan yang dilindungi itu.
“Pada masa sama, peluang pekerjaan termasuklah dalam jurusan pengurusan acara dapat diwujudkan dan mengurangkan pengangguran serta meningkatkan nilai ekonomi negeri ini,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada 30 asnaf dalam kalangan anak kariah Masjid As Syakirin, Oran di sini hari ini.
Mengiringi baginda, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Siti Berenee Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Para asnaf terbabit masing-masing menerima RM700 dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM21,000 yang diagihkan oleh amilnya, Norshahidi Ismail.
Program MAIPs bersama Yayasan Tuanku Syed Putra dan Yayasan Tuanku Fauziah itu disekalikan dengan peringatan ‘International Mountain Day’ yang disambut pada 11 Disember setiap tahun bagi mewujudkan kesedaran tentang kepentingan gunung kepada kehidupan.
Selain itu, ia juga menyerlahkan peluang dan kekangan dalam pembangunan gunung di samping untuk membina pakatan yang akan membawa perubahan positif kepada penduduk gunung dan persekitaran di seluruh dunia. -UTUSAN ONLINE