Dua peniaga dikesan mencatut harga sayur - Utusan Malaysia

Dua peniaga dikesan mencatut harga sayur

Ops ATM (ayam, telur dan minyak masak) dan Ops Anti Sorok yang dilaksanakan KPDN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan dua peniaga yang disyaki melakukan kesalahan mencatut harga sayur-sayuran menerusi Op Pasar 2021.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd. Muis Samsudin berkata,  menerusi operasi yang dijalankan bermula 27 November hingga 12 Disember lalu, sebanyak 34 notis telah dikeluarkan kepada para peniaga di dalam rantaian pengedaran sayur-sayuran di negeri ini.  

“KPDNHEP Negeri Sembilan telah mengeluarkan 17 Notis Pengesahan Maklumat Barangan/Perkhidmatan dan 17 Notis Bertulis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Daripada keseluruhan notis yang diberikan, dua peniaga disyaki melakukan kesalahan mencatut di bawah Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abd. Muis, peniaga pertama dikesan melakukan kesalahan itu bagi sayur jenis brokoli yang ditawarkan di premisnya.

“Hasil analisa mendapati kos yang terlibat dalam pembekalan item ini didapati menurun, namun begitu, harga yang ditawarkan bagi setiap kilogram (brokoli) kekal tiada perubahan.

“Ini menyebabkan peratusan margin meningkat sebanyak 4.37 peratus daripada peratusan keuntungan maksimum yang dibenarkan pada tahun semasa,” katanya.

Jelas beliau, peniaga kedua pula dikesan melakukan kesalahan bagi cili merah minyak di mana peratusan keuntungan maksimum yang direkodkan adalah sebanyak 53.9 peratus berbanding peratusan keuntungan maksimum tahun semasa yang dibenarkan iaitu 44.01 peratus.

“Sehubungan itu, dua kertas siasatan telah dibuka berhubung dua peniaga yang dinyatakan dan siasatan lanjut akan diteruskan di bawah Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Jika sabit kesalahan di bawah peruntukan ini, boleh didenda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat dan sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Abd. Muis berkata, tindakan pemantauan yang berterusan oleh KPDNHEP Negeri Sembilan melalui Op Sayur 2021 dilihat memberikan kesan yang positif.

“Hasil pemantauan susulan mendapati  kedua-dua premis ini telah menurunkan harga bagi sayur yang dinyatakan berdasarkan peratusan keuntungan maksimum yang dibenarkan,” katanya 

Tambah beliau, berdasarkan rekod daripada 1 Januari sehingga 30 November 2021, sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka oleh KPDNHEP Negeri Sembilan atas kesalahan di bawah Seksyen 14 (1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN