GUA MUSANG: Bapa tunggal dari Kampung Kundur, di sini berdepan ujian hebat apabila buta kedua-dua mata akibat penyakit saraf yang dideritanya dan tidak lagi berupaya keluar mencari rezeki, sejak tujuh tahun lalu.
Mohd. Zamri Mat Jusoh, 47, pada mulanya terjatuh dari motosikal selepas terbabas sendiri ketika dalam perjalanan untuk berniaga di Bandar Baru Gua Musang sebelum disahkan menghidap penyakit saraf mata.
Selepas hilang upaya untuk melihat, Mohd. Zamri kini bergantung ihsan kepada saudara mara serta bekas isterinya yang berniaga makanan yang turut menanggung perbelanjaan membesarkan tiga anak mereka.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Zamri berkata, ketiga-tiga anak mereka yang berumur antara 13 hingga 22 tahun masih belajar dan mereka kini ditanggung sepenuhnya oleh bekas isteri.
“Selepas disahkan menghidap penyakit saraf, penglihatan saya semakin gelap sehingga disahkan buta sepenuhnya. Saya reda dengan ketentuan Allah serta bersyukur apabila keluarga dan jiran tetangga mengambil berat keadaan saya.
“Saya sudah tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan lagi selepas hilang penglihatan. Rawatan sudah dilakukan di beberapa hospital sebelum ini, tetapi keputusan mengecewakan, iaitu mata saya sudah tidak dapat diubati,” katanya
Terdahulu, Mohd. Zamri menerima kunjungan wakil Pertubuhan Amal Cempaka Merah Asnaf Gua Musang, Azlina Wahab yang tampil untuk memberikan sumbangan di kediamannya di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Zamri, dia bersyukur beban ditanggung sedikit ringan apabila menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan.
Orang ramai yang ingin membantu Mohd. Zamri boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Islam miliknya bernombor 03063020395009 atau hubunginya di talian 011-35112307.
101221 KLT buta saraf
MOHD. Zamri Mat Jusoh menerima kunjungan Azlina Wahab di rumahnya di Kampung Kundur, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH