Peniaga terjejas kebakaran dakwa bantuan tidak telus

Peniaga terjejas kebakaran dakwa bantuan tidak telus

KEADAAN beberapa premis perniagaam yang terjejas dalam kebakaran di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mangsa kebakaran di Pantai Dalam, ibu negara yang memusnahkan 14 rumah dan beberapa premis perniagaan pada 8 Ogos lalu, meluahkan rasa kecewa apabila proses penyaluran bantuan didakwa tidak telus.

Seorang peniaga, Nurfaten Liyana Ahmad Rizal, 35, mendakwa, buat masa ini peniaga yang terjejas masih belum menerima sebarang bantuan daripada pihak berkuasa malah, terdapat ketirisan apabila individu yang tidak terlibat turut menerima sumbangan.

“Selepas hari kejadian, kami sepatutnya dapat bantuan daripada wakil rakyat, namun bantuan itu hanya disalurkan kepada rumah-rumah yang terjejas.

“Ada juga beberapa pihak yang tidak terlibat tetapi menerima sumbangan jadi ada perkara yang tidak telus di situ,” dakwanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 8 Ogos lalu, Ahli Parlimen Pantai Dalam, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, beberapa bantuan jangka panjang akan diteliti bagi membantu mangsa terlibat dalam kebakaran yang memusnahkan 14 rumah dan beberapa premis perniagaan di Pantai Dalam.

Fahmi berkata, pihaknya sedang mengatur beberapa sesi pertemuan melibatkan mangsa yang terlibat serta pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan tersebut.

Beliau juga memaklumkan bahawa pertemuan akan diadakan dengan pemilik premis perniagaan yang terkesan.

Nurfaten berkata, terdapat beberapa dakwaan tidak berasas yang menyatakan segelintir peniaga sengaja membakar premis untuk menuntut insurans, sedangkan kebakaran tersebut berpunca daripada kawasan perumahan yang berdekatan.

“Kami meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan adil bagi memastikan punca sebenar kebakaran dikenal pasti,” katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaporkan berkata, kebakaran memusnahkan kira-kira 80 peratus kawasan perumahan berkeluasan anggaran 0.074 hektar serta premis kedai seluas 0.223 hektar.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×