‘Banjir di kampung kami makin lama termenung’ - Utusan Malaysia

‘Banjir di kampung kami makin lama termenung’

MUSTOPA Hassan menggunakan perahu untuk berulang alik selepas laluan masuk ke Kampung Tersang, Rantau Panjang, Kelantan ditenggelami banjir. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Sudahlah airnya yang dalam hingga mencecah 0.5 meter semakin kerap ‘termenung’, hendak surut pula mengambil masa panjang hingga berminggu-minggu biarpun cuaca panas terik.

Itu dilema penduduk Kampung Tersang, Kampung Gua Tok Deh dan Kampung Lachang di sini, yang sering berdepan fenomena banjir ‘termenung’ atau takungan air banjir separas pinggang yang tidak surut-surut.

Difahamkan, dalam tempoh tidak sampai sebulan, sudah dua kali penduduk di tiga kampung terbabit terpaksa tinggal dalam rumah dikepung air banjir dan keadaan itu berlarutan hingga dua minggu lamanya.

Penduduk Kampung Gual Tok Deh, Bakhtiar Mohamed, 48, berkata, bulan lalu, banjir melanda rumahnya mengambil masa dua minggu untuk surut dan kali ini kejadian berulang selepas hujan lebat, Khamis lalu.

Mahu tidak mahu katanya, penduduk mula membina titi selain menggunakan perahu untuk berulang-alik melakukan urusan harian termasuk keluar ke pekan bagi mendapatkan barangan keperluan harian.

“Biasanya jika rumah kami dinaiki air, ia mulai surut antara dua hingga empat hari. Namun sejak projek tebatan banjir dijalankan di kawasan berhampiran, ia mengambil masa hingga dua minggu untuk surut.

“Situasi itu sangat menyusahkan kami, saya amat berharap supaya kerajaan dapat mencari alternatif untuk menyelesaikan masalah ini daripada terus berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Mustopa Hassan, 74, dari Kampung Tersang pula berkata, apabila hujan berterusan tanpa henti, banjir kilat yang berlaku sebelum bertukar menjadi banjir termenung diburukkan lagi apabila paras air Sungai Golok melimpah.

“Paras air naik dengan cepat dan semakin dalam apabila banjir termenung ini bertembung dengan limpahan air Sungai Golok. Jalan perhubungan utama kami terputus terus dan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan.

“Disebabkan banjir di kampung kami semakin lama termenung, perahu kini menjadi pengangkutan utama untuk penduduk keluar masuk mendapatkan barangan keperluan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN