BAGAN DATUK: Seramai 14 nelayan Malaysia ditahan manakala tiga bot mereka dirampas pihak berkuasa Indonesia kerana didakwa menangkap ikan di kawasan perairan negara jiran itu.
Setiausaha Eksekutif Koperasi Nelayan Daerah Hilir Perak, Kee Jeh Hai berkata, semua mereka yang terdiri daripada tekong dan awak-awak ditahan bersama bot masing-masing pada 6 dan 8 Disember serta semalam.
Menurutnya, bot nelayan dari Bagan Panchor, Pantai Remis ditahan pada 6 Disember, bot dari Hutan Melintang di sini ditahan pada 8 Disember manakala semalam, bot dari Sekinchan, Selangor ditahan.
Beliau berkata, setiap bot tersebut terdiri daripada antara empat hingga lima awak-awak termasuk tekong.
“Kami meminta bantuan daripada kerajaan supaya dapat membebaskan nelayan kita yang ditahan dan mendapatkan semula bot-bot yang dirampas.
“Ketika ditahan, nelayan terbabit beroperasi di perairan negara, mereka tidak masuk ke perairan Indonesia,” katanya dalam sidang akhbar di Hutan Melintang di sini hari ini.
Menurutnya, kebiasaannya untuk pekerja atau awak-awak bot, pihak berkuasa Indonesia akan melepaskannya, hanya tekong yang ditahan.
Katanya, pihaknya bimbang keadaan bot yang telah dirampas yang menyebabkan nelayan kerugian.
“Setiap satu bot bot berharga kira-kira RM1.5 juta, mungkin ada pemilik bot yang masih berhutang dan perlu membayarnya secara ansuran,” katanya. – UTUSAN ONLINE